BUTTERWORTH - Hari ini, baki enam terakhir daripada 18 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang didakwa atas pertuduhan rasuah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini.
Kesemua mereka didakwa menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan, bagi melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya yang membawa lebih muatan di negeri ini.
Iklan
Iklan
Sehingga semalam, 11 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang termasuk seorang wanita dan seorang bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama selepas di bawa ke mahkamah pada Rabu dan Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes lori kebal: Lima anggota JPJ, bekas kakitangan SPAD mengaku tidak bersalah
Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu, selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya ketika ditanya sama ada akan ada lagi tangkapan selepas ini, beliau berkata, pihaknya tidak boleh memberikan maklumat kerana tidak mahu mengganggu siasatan.
"Kami minta pihak media untuk memahami kerana kes ini yang bermirip sindiket kita tidak mahu siasatan disabotaj," katanya dalam lawatan kerjanya ke Pulau Pinang pada Selasa lepas. - Bernama