Leman Raja Lawak didakwa lagi

Iklan
Leman, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini hari ini.

BEKAS peserta Raja Lawak musim kelima, Leman sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja, tiga bulan lalu.

Leman atau nama sebenarnya Sulaiman Ibrahim bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Leman, 37, didakwa memegang tangan mangsa yang berusia 17 tahun 11 bulan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di Puchong Utama jam 3.30 petang pada 6 April lalu.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga didakwa memeluk dan meramas payudara mangsa di sebuah rumah di Taman Putra Perdana, Puchong, jam 4 petang pada hari sama.

Iklan

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Leman berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, boleh dikenakan sebat sekiranya disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlina Razali tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh mengenali mangsa.

"Bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon dikenakan syarat tambahan yang ketat," katanya.

Leman yang diwakili peguam, Muaz Zafar memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

"Isterinya sarat mengandung manakala tertuduh juga tidak mempunyai pendapatan tetap," katanya.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

"Sebagai syarat tambahan, kamu dilarang mendekati mangsa, saksi-saksi samada secara online ataupun offline," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Leman melaporkan diri di balai polis berdekatan.

Rabu lalu, Leman yang juga pengarah urusan syarikat produksi didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dua pertuduhan mencabul pekerjanya.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.