SHAH ALAM - ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengakui penularan senarai nama beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor yang memberikan sokongan kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sah.
Menurutnya, senarai nama itu diputuskan semasa program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 yang berlangsung di Port Dickson pada 19 Julai lalu.
"Sebagai anggota parti, pihaknya menyatakan sokongan penuh kepada Anwar untuk menerajui kepimpinan PKR.
"Ya, saya maklum (mengenai senarai nama yang beri sokongan kepada Anwar). Sebagai anggota parti, kita kena beri taat setia kepada presiden," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, beberapa nama pimpinan PKR di Selangor terdiri daripada ketua cabang, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokongan kepada Anwar tular di media sosial.
Selain Mohd Zawawi, antara nama ADUN lain yang tersenarai adalah ADUN Kota Damansara, Shatiri Mansor; ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail; ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi; ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri; ADUN Ijok, Idris Ahmad; ADUN Rawang, Chua Wei Kiar; ADUN Permatang, Rozana Zainal dan ADUN Sentosa Gunaraj George.
Manakala, senarai Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada Anwar pula ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani; Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Law dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Selain itu, beberapa nama ketua cabang di Selangor turut terdapat di dalam senarai itu antaranya Ketua Cabang Pandan, Rafizi Ramli, Ketua Cabang Tanjong Karang, Yahya Sahri; Ketua Cabang Puchong, A Anbarasan; Ketua Cabang Kelana Jaya, K Saminathan dan Ketua Cabang Klang, Yew Boon Lye.
Difahamkan, buat masa ini tiga Pengerusi PKR negeri dilaporkan masih belum menandatangani dokumen khas bagi menyatakan sokongan penuh kepada Anwar.
Negeri-negeri terlibat adalah Selangor, Sarawak dan Johor.
Sementara itu, Shatiri ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan seramai 120 pimpinan PKR terdiri daripada Ahli Parlimen, ADUN, Senator dan ketua bahagian telah menandatangani sokongan terhadap Anwar melalui dokumen khas tersebut.
Ketika diminta mengulas mengenai Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari yang masih belum menandatangani dokumen khas tersebut, Shatiri berkata, pihaknya melihat kepimpinan negeri seolah-olah tidak mempunyai usaha ke arah itu.
"Namun apa yang penting, pimpinan utama memang telah dijemput hadir sewaktu Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Port Dickson sebelum ini bagi menyatakan sokongan padu kepada Anwar," katanya.