PASIR GUDANG - Seorang pekerja swasta maut ketika mendapat rawatan di sebuah hospital selepas terlibat kemalangan di Jalan Betik dekat Kota Masai di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, Mohamad Zulhelmie Ikmal Ibrahim, 26 yang beralamat di Cahaya Masai, di sini meninggal dunia selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Ismail Dollah berkata, motosikal ditunggang mangsa terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggangi seorang pelajar dari Kota Masai yang berusia 19 tahun.
"Siasatan awal mendapati pelajar berkenaan menunggang motosikal dari arah Plentong menghala ke Taman Kota Masai.
"Setibanya di tempat kejadian, ketika motosikal ditunggang pelajar itu hendak membelok ke kanan memasuki Jalan Cempedak 2, tiba-tiba datang motosikal yang ditunggang Mohamad Zulhelmie Ikmal dari arah belakang lalu melanggar belakang motosikal pelajar berkenaan.
"Akibat perlanggaran tersebut mangsa telah terjatuh ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, mangsa telah dibawa ke sebuah hospital swasta di sini oleh bapanya yang kebetulan melalui jalan tersebut.
"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia semasa mendapat rawatan manakala pelajar berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.