KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sudah menghantar dua sukarelawannya untuk memberi bantuan asas ke kawasan yang terjejas akibat tsunami yang melanda Selat Sunda, Indonesia, 22 Dis lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, dua sukarelawan berkenaan yang juga aktivis Angkatan Pertahanan Malaysia tiba di kawasan terbabit semalam.
"... pada asalnya mereka berada di Palu untuk projek di perkampungan berkenaan, jadi lepas kejadian tsunami Selat Sunda berlaku, saya arahkan mereka ke sana untuk salurkan bantuan.
"Semalam, mereka berjaya masuk ke kawasan kritikal dan seperti kita sedia maklum, terdapat beberapa kawasan yang kritikal antaranya di Pantai Carita, Pantai Sumur dan sebagainya... pasukan kita telah berjaya masuk ke tiga-tiga kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ahmad Sani berkata hari ini pasukan tersebut mula mengedarkan pek makanan, ubat-ubatan dan barangan asas untuk mangsa tsunami selain turut membantu mengeluarkan mayat mangsa tragedi.
Menurutnya, buat masa ini Mapim tidak bercadang untuk menghantar sukarelawan lain berikutan keadaan semasa di sana yang masih diletakkan pada tahap berjaga-jaga.
"Pihak kerajaan Indonesia sendiri telah mengeluarkan kenyataan supaya berhati-hati, cabaran bukan hanya kepada penduduk di sana sahaja tetapi kepada orang yang mahu menyelamatkan mereka, jadi masing-masing sangat berwaspada," katanya.
Ahmad Sani berkata orang ramai boleh menghulurkan bantuan melalui tabung yang sama untuk tabung bantuan Palu dengan melayari www.rayuansulawesi.com atau terus ke akaun Maybank 5582 2060 5312.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Anwar Shaharul Anwar berkata bantuan awal seperti pek makanan dan kebersihan untuk mangsa tsunami terbabit akan disalurkan dalam waktu terdekat melalui rakan badan bukan kerajaan mereka di Indonesia, Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) Human Initiative.
"Buat masa ini belum ada perancangan misi untuk ke sana. Bagaimanapun, seperti kebiasaannya, bantuan awal akan disalurkan pada minggu ini melalui PKPU yang sudah berada di lapangan beberapa jam selepas bencana berlaku.
"Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh ke laman sesawang www.billplz.com/selatsunda atau ke akaun bank Maybank MyCARE 5515 7500 4299, CIMB Islamic Bank Berhad (86 0213559 2) dan Bank Islam (1209 20100 34904)," katanya.
Menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia Sutopo Purwo Nugroho, sehingga semalam jumlah korban tragedi itu meningkat kepada 373 orang, 128 masih hilang manakala 1,459 tercedera. - Bernama