Rakyat mahukan akauntabiliti, kredibiliti dan integriti

Iklan
1080936

AMALAN melantik orang politik sebagai pengerusi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagai anggota lembaga pengarah adalah amalan yang boleh dikatakan menjadi tradisi sejak negara berada di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi.

Pada waktu kerajaan Pakatan Harapan memerintah terdapat sedikit perubahan di sana sini. Ada agensi yang diterajui orang politik dan tokoh korporat. Bagaimanapun, keadaan ini berubah setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan melantik wakil-wakil rakyatnya yang tiada jawatan dalam kerajaan, menjadi pengerusi GLC.

Oleh kerana politik adalah satu pekerjaan yang bersifat kesukarelaan maka tidak keterlaluan jika dikatakan semua lantikan ini adalah lebih dilihat sebagai reward atau habuan.

Ia juga dilihat lebih untuk 'mengambil hati' wakil-wakil rakyat ini yang tidak dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri.

Apabila ini berlaku, soal kualiti atau kelayakan untuk menerajui sesuatu GLC atau agensi itu diketepikan atau tidak menjadi faktor perkiraan langsung.

Kerajaan sebaliknya perlu mengambil pengajaran akibat daripada episod kes Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang kedudukannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd bukan sahaja dilihat tidak sesuai malah cara beliau mengendalikan isu tidak memenuhi standard yang diperlukan sebagai seorang pengerusi.

Berikutan itu, apabila beliau ditamatkan perkhidmatan dengan serta-merta ekoran cara beliau mengendalikan krisis kemalangan tren LRT baru-baru ini, ramai yang bersetuju sekiranya kerajaan mengambil langkah sama dengan menamatkan amalan melantik pengerusi GLC yang dibuat berdasarkan lantikan politik.

Sesungguhnya mereka inilah yang menghancurkan kepercayaan awam ke atas imej orang politik yang semakin hari semakin rosak akibat tindak-tanduk dan perbuatan mereka sendiri.

Rakyat mahukan akauntabiliti, kredibiliti dan integriti. Bukan makan elaun buta saban bulan.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Artikel Tanpa Had Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan dengan
Log Masuk atau Daftar Akaun untuk membaca artikel ini.