Rakyat meluat tengok individu langgar SOP
KERAJAAN memutuskan untuk mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial.
Merak Jalanan sebenarnya berharap agar kerajaan melaksanakan total lockdown kerana angka kes harian Covid-19 yang naik mencanak-canak.
Tapi Merak Jalanan faham, kerajaan menimbangkan pelbagai aspek untuk memutuskan perkara tersebut terutamanya kesannya kepada rakyat.
Cuma Merak Jalanan hairan dengan sikap sesetengah individu yang langsung tidak kisah dengan SOP.
Merak Jalanan tidak faham kenapa orang ramai masih tidak mampu mengikut arahan kerajaan sedangkan sudah setahun negara berdepan dengan wabak Covid-19.
Kalau budak kecil tak apa, mungkin masih tidak faham apa itu SOP. Tapi ini sudah tua bangka. Bangga pula bila muka terpampang di akhbar sebab langgar SOP.
Kadang-kala naik menyampah pula kita tengok, lebih-lebih lagi kalau diri sendiri yang menularkannya di media sosial.
Mungkin ada yang sengaja berbuat demikian kerana kontroversi yang diwujudkan itu menyebabkan mereka dikenali ramai. Seronok la kan...
Cukup-cukuplah. SOP dibuat untuk kebaikan semua, bukan untuk dilanggar.
Merak Jalanan nak cadangkan kepada kerajaan supaya jangan bagi muka lagi kepada individu-individu yang suka langgar SOP ini.
Kalau terbukti mereka bersalah, sumbat ke dalam penjara. Biar dia rasa!
Bila SOP diwujudkan, perlu tegas untuk dilaksanakan. Merak Jalanan tidak mahu ada SOP khusus untuk rakyat dan SOP khusus untuk warga kayangan.
Tidak cukup sekadar minta maaf. Kerajaan sepatutnya menangani kes-kes sedemikian dengan cara yang lebih baik tetapi seperti kata pepatah Inggeris, 'two wrongs don't make a right'!
Rakyat pun dah meluat!