Berpadalah dalam bersukan, jangan sampai rebah
SUDAH pasti bukan Merak Jalanan seorang sahaja yang terkejut apabila melihat pemain Denmark, Christian Eriksen yang rebah ketika perlawanan menentang Finland pada pagi Ahad.
Kejadian yang berlaku pada penghujung separuh masa babak pertama itu mengundang pelbagai spekulasi apabila pemain tengah Inter Milan itu dilihat diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh pasukan paramedik.
Ketika kejadian, dapat dilihat ada penyokong yang kelihatan sedih dan berduka menggambarkan sesuatu yang buruk telah berlaku kepada beliau.
Akhirnya beberapa jam selepas dibawa ke hospital, ramai menarik nafas lega apabila Eriksen disahkan berada dalam keadaan stabil dan boleh bernafas dengan baik.
Selepas kejadian tersebut ramai kalangan rakan Merak Jalanan yang berkongsi pandangan masing-masing mengenai keupayaan tubuh badan ketika bersukan. Kata mereka, sedangkan Eriksen yang merupakan atlet profesional, mengikuti siri latihan yang teratur serta mempunyai kecergasan yang tinggi pun boleh rebah, inikan pula orang biasa.
Kata mereka, bersukanlah dengan berpada kerana sudah banyak kes yang berlaku rebah dan meninggal dunia ketika bersukan seperti bermain futsal, badminton, berbasikal dan berlari.
Malah Merak Jalanan perhatikan ada yang berhempas pulas dalam tempoh PKP 3.0 berlari dalam jarak yang jauh hingga menyiksa badan sendiri.
Kemampuan tubuh badan hanya mampu berlari setakat 5 kilometer sahaja tetapi dipaksa berlari sehingga 10 kilometer boleh mengundang pelbagai risiko lain.
Kemudian ada juga yang Merak Jalanan perhatikan bersukan pagi dan petang tanpa henti hingga memudaratkan tubuh badan sendiri.
Oleh itu, berpada-padalah dalam bersukan kerana akhirnya bukan kebaikan diperolehi tetapi mudarat yang menjelma.