KUALA LUMPUR - Pendakwa Raya mengemukakan permohonan secara rasmi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan hantaran di laman Facebook berhubung keterangan saksi membabitkan penggunaan kad kredit miliknya.
Melalui permohonan yang difailkan hari ini, Pendakwa Raya menuntut Najib memohon maaf terhadap penerbitan subjudis dalam Facebook miliknya pada jam 9.30 malam, 15 Julai lalu dan 11.23 pagi, pada 17 Julai lalu.
Mereka turut mengemukakan 'perakuan segera' supaya notis usul itu didengar secepat mungkin oleh Mahkamah Tinggi.
Peguam Negara Tommy Thomas pada 18 Julai lalu telah meminta Mahkamah Tinggi mengeluarkan arahan supaya Najib memohon maaf kepada mahkamah.
Bagaimanapun Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali meminta pendakwa raya mengemukakan permohonan itu secara rasmi.
Dalam pada itu melalui permohonan tersebut Pendakwa Raya memohon perintah supaya Najib dihalang daripada menerbitkan atau menyebabkan pernyataan itu diterbitkan membabitkan keterangan dikemukakan saksi dalam kes perbicaraan SRC International yang dihadapinya.
Dalam prosiding sebelum ini, Tommy berkata, Najib memuat naik hantaran yang menjelaskan keterangan saksi ke-47, iaitu Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong berhubung penggunaan kad kredit miliknya (Najib) dengan menyatakan bahawa ia digunakan bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.
Beliau berkata, pendakwaan menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada tertuduh di atas tindakannya dan satu aku janji untuk tidak mengulanginya.
Dakwa Tommy, Najib melakukan tindakan itu atas kapasiti peribadi dan perlu bertanggungjawab di atas perbuatannya.
Sementara itu, dalam afidavit sokongan yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat berkata, kedua-dua penerbitan itu jika dibaca secara keseluruhan, adalah jelas menunjukkan cubaan Najib selaku responden untuk membuat pembelaan melalui media sosial dan mengulas keterangan dikemukakan di mahkamah.
"Amat amat jelas perkara ini adalah subjudis dan berniat untuk mempengaruhi keterangan di mahkamah dan mendapatkan sokongan daripada orang awam untuk memberikan tekanan dan dorongan terhadap keputusan mahkamah," katanya dalam permohonan itu.
Tambah pendakwa raya, jelas bahawa tindakan sedemikian adalah tidak sesuai dan merupakan satu campur tangan terhadap pentadbiran keadilan dan proses perundangan.
Tegasnya, dua penerbitan yang dipersoalkan itu terjumlah kepada ulasan dan pededahan berkaitan prosiding kehakiman yang memprejudiskan serta terlebih dahulu, sudah membuat penghakiman.
Pendakwa Raya berkata, penerbitan yang dipersoalkan itu adalah berhubung perkara yang akan diputuskan mahkamah, dan ia menceroboh perkara bagaimana isu itu patut diputuskan atau ditangani.
" Ia secara langsung memprejudiskan keputusan prosiding yang menyebabkan risiko besar terhadap campur tangan ke atas proses perundangan dan pentadbiran keadilan," tegasnya.