ALOR SETAR - Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Taman Mutiara, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, rumah didiami keluarga dua beradik iaitu Norasyikin Morad, 50, dan Normadiah, 58, musnah sepenuhnya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Norasyikin berkata, dia lima sekeluarga bersama kakaknya, Normadiah dua beranak hilang tempat berteduh selepas rumah didiami mereka bersama sejak 40 tahun lalu hangus dijilat api.
Menurutnya, mereka tidak sempat berbuat apa-apa memandangkan masing-masing tiada di rumah ketika kebakaran berlaku.
"Saya pengsan sebaik mengetahui rumah tempat kami lima beranak berlindung dari hujan dan panas selama ini hangus terbakar.
"Lebih menyedihkan, kami tidak dapat menyelamatkan apa-apa harta benda termasuklah buku sekolah anak-anak," katanya.
Norasyikin berkata, dia lima beranak menanggung kerugian lebih RM40,000 apabila segala kelengkapan kediaman dan wang simpanan tidak dapat diselamatkan.
Katanya, mereka tidak mampu membaik pulih rumah berkenaan memandangkan suaminya, Ku Rosli Ku Abdullah, 52, hanya bekerja sebagai pemandu lori menghantar bekalan ikan dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan.
Sementara itu, nasib mereka mendapat perhatian Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan bersama kira-kira 20 ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian dan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar.
Syed Mohd Johan berkata, mereka turun padang hari ini menziarahi dan menyalurkan sumbangan barang keperluan asas dan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa kebakaran itu.
Katanya, sumbangan berkenaan diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga Norasyikin yang menampung kehidupan dengan bekerja di pelantar ikan, manakala kakaknya sebagai tukang cuci.
"Kami menyeru orang ramai menyalurkan sebarang bentuk bantuan tak kira sama ada wang, pakaian ataupun barang keperluan asas demi membantu dua keluarga yang tinggal sehelai sepinggang itu," katanya.