KUALA TERENGGANU - Mahu mencuba dua atau tiga minggu dahulu kerana bimbang pekerja tidak boleh membuat kerja.
Itu alasan yang diberikan sebahagian besar pemilik kedai makan yang dikesan menggaji warga asing tanpa permit sah dalam Operasi Bersepadu di sekitar bandar raya ini kelmarin.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, kebanyakan majikan yang diperiksa memberi alasan pekerja tidak dibuat permit kerja sah kerana masih dalam tempoh percubaan.
"Selepas melepasi tempoh percubaan itu yang ditetapkan dalam beberapa minggu, mereka mendakwa kononnya akan membuat permit kerja kepada pekerja terlibat tetapi alasan diberi itu sangat lapuk.
"Hasil pemerhatian kita sebelum ini mendapati majikan akan menangguh tempoh membuat permit pekerjanya meskipun sudah melepasi tempoh percubaan ditetapkan," katanya ketika ditemui sempena Ops Belanja/Selera/Sapu di sekitar bandar raya ini.
Ahmad Salihin berkata, operasi tujuh jam bermula jam 5 petang dengan kekuatan pegawai dan anggota seramai 19 orang kali ini menyasarkan kedai-kedai makan terutama kedai masakan panas dan rumah-rumah sewa.
Katanya, seramai 71 warga asing diperiksa membabitkan 14 buah kedai makan dan rumah sewa di sekitar bandar raya termasuk Hulu Terengganu.
"Seramai 24 orang daripada mereka yang terdiri 11 lelaki, sembilan wanita dan empat kanak-kanak ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
"Kesemua yang ditahan merupakan warga Thailand dan Bangladesh yang berusia antara dua hingga 50 tahun.
"Selain itu seramai empat majikan ditahan selepas didapati melakukan kesalahan dengan menggaji pekerja mereka tanpa permit sah," katanya.
Ahmad Salihin berkata, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Kesemua mereka akan disiasat atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tamat tempoh pas serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas," katanya.