KUALA KEDAH - Pasukan Polis Marin berjaya merampas beberapa jenis rokok beserta sebuah kenderaan yang kesemuanya bernilai RM91,750 ketika Op Landai, semalam.
Komander Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, semasa menjalankan Op Landai, tujuh anggota marin telah membuat pemeriksaan di beberapa premis jualan di kawasan pekan Kuala Kedah setelah mendapat maklumat dari unit risikan marin.
Menurutnya, pemeriksaan telah dibuat ke atas sebuah van jenis Daihatsu Gran Max berwarna putih.
"Semasa serbuan dibuat, pemandu van yang merupakan seorang lelaki Melayu bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rosman, pihak polis cuba untuk mengejar dan mengesan pemandu van berkenaan tetapi gagal ditemui.
"Setelah pemeriksaan dibuat ke atas van tersebut, pihak polis telah menemui rokok putih dan rokok kretek pelbagai jenis.
"Rokok putih dijumpai sebanyak 50,600 batang yang bernilai RM15,180 manakala rokok kretek berjumlah 14,600 batang bernilai RM6,570," katanya.
Tambah Rosman lagi, semua barang-barang yang dirampas dibawa ke balai polis Kuala Kedah untuk laporan sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam DiRaja.