Tunku Azizah pencinta warisan

Iklan
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (empat, kanan) melawat bengkel pembuatan kain tenun Pahang selepas merasmikan Kraf Kampungku (KKK) Tenun Pahang Diraja di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Kompleks Budaya Pulau Keladi.- Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Minat mendalam dan kesedaran mengenai pentingnya identiti sesebuah masyarakat, mendorong Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berusaha menghidupkan semula warisan budaya agar tidak dilupakan terus oleh masyarakat.

Ilmu dan kesungguhan Tunku Azizah dalam memulihara sejarah dan budaya, khususnya barangan koleksi diraja begitu dikagumi rakan karib baginda, Datuk Seri Shah Rezza, yang juga merupakan ‘Ikon Budaya’ Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Iklan
Iklan

Kesempatan bertemu pelakon 80-an itu di Istana Negara baru-baru ini, mencungkil ketekunan Tunku Azizah daripada kaca mata beliau, dalam usaha mengekalkan seni warisan budaya bangsa untuk kepentingan generasi akan datang.

"Saya rasa bertuah dapat seorang Permaisuri Raja yang minat sejarah dan kebudayaan...minat kami ini sama, Tuanku amat minat benda budaya dan bersejarah, umpamanya tekstil.

Iklan

"Pembabitan Tuanku ini bukan hanya melihat pada luaran, tetapi baginda mengkaji keseluruhannya, ia bukan hanya baik kepada pencinta budaya dan sejarah tetapi kepada negara,” kata pemilik nama asal Datuk Seri Raja Shah Zurin Raja Aman Shah.

Mengambil contoh usaha baginda dalam menghidupkan semula Kain Tenun Pahang Diraja, Pengasas dan Pengerusi Festival Fesyen Islam itu menyifatkan ianya satu pencapaian besar, kerana sebelum itu kain tenun Pahang memang sudah hampir dilupakan.

Iklan

"(Sebelum ini) sememangnya dalam sejarah ada menceritakan mengenai kain tenun Pahang yang begitu gah dan berwarna-warni, tetapi masyarakat tidak tahu mana nak cari dan lihat sendiri.

"Ia (tenun Pahang) sudah hampir hilang, jadi sebab itu (inisiatif baginda) satu kejayaan, kerana jika ia tidak dikembalikan, maka kita akan kehilangan satu lagi seni kebanggaan orang Melayu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.

Rakan Karib Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Datuk Seri Shah Rezza ketika ditemu bual sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Julai ini. - Foto Bernama

Tunku Azizah juga kini merupakan Penaung bagi Yayasan Tenun Pahang Diraja.

Bercerita lanjut, Shah Rezza berkata istimewanya Tunku Azizah bukan sahaja setakat menjadi penaung, tetapi baginda turut berangkat di seluruh nusantara untuk melihat cara-cara orang lain menenun.

"Jadi kita sebagai orang Melayu dan pecinta budaya berasa senang, kerana dapat seorang raja yang 100 peratus minat untuk memelihara budaya... ada pepatah ‘a place without history is like a man without memories’, lagi banyak sejarah dan budaya yang ada dalam sesebuah negara itu, lebih berkualiti masyarakatnya,” katanya.

Mengenai minat Tunku Azizah mengumpul barangan lama, Shah Rezza menceritakan pengalamannya membantu baginda mencari barang-barang lama istiadat diraja Pahang, ketika baginda menguruskan perkahwinan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dengan Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Muda Julita Aishah Abdul Latiff.

"Atas kesungguhan, baginda dapat kumpul beberapa barangan istiadat perkahwinan, antaranya bunga tabur (kepingan emas seperti bunga yang dijahit atas baju), panca suar dan talam-talam berukir... selepas itu Tunku menyatakan hasrat untuk kumpul dan pamerkan semua peralatan tersebut,” katanya.

"Ini sesuatu yang amat penting kerana adat ini adalah hak milik kita orang Melayu secara keseluruhannya dan jika kalau tidak ada lagi ‘barangan nyata’, masing-masing akan buat andaian kerana kita tidak ada benda yang sebenar,” katanya.

Menurut Shah Rezza, apabila bersemayam di Istana Negara, Tunku Azizah banyak membawa barang-barang daripada koleksi peribadi baginda bersama dan berhasrat mewujudkan satu galeri di Istana Negara, untuk mempamerkan barang-barang koleksi negara.

Ini bagi memberi peluang kepada tetamu khususnya dari luar negara, untuk lihat sendiri koleksi berkenaan, katanya yang juga antara pereka yang bertanggungjawab menghiasi Istana Negara sempena istiadat pertabalan minggu hadapan. - Bernama