DEBARAN untuk menyaksikan pertembungan dua gergasi dari utara tanah air di final Piala FA 2019, Sabtu ini semakin terasa.
Pastinya peminat pasukan Perak dan Kedah meramalkan pasukan masing-masing yang akan bergelar juara menerusi perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kali terakhir skuad The Bos Gaurus dan Lang Merah membuat perhitungan di final Piala Malaysia 2007, yang menyaksikan Kedah merentap ego Perak dengan kemenangan 3-0.
Sebagai rekod, Perak menduduki tempat kelima dengan meledak 36 gol dan bolos 31 jaringan, sementara Kedah di tempat keempat (37 gol dan bolos 29) dalam saingan Liga Super 2019, yang berakhir Ahad lepas (21 Julai).
Penyanyi, pelakon Elly Mazlein
Perak menang 3-1
BAGI penyanyi, pelakon Elly Mazlein dia meramalkan bahawa Perak akan menang 3 - 1.
"Perak 3, Kedah 1 cukup la. Perak akan menang sebab Perak hebat....,” katanya ringkas.
Sokongan terhadap negeri kelahirannya itu tidak berbelah bahagi, pun begitu, Elly tidak dapat ke stadium sebaliknya menyokong dengan menonton perlawanan tersebut bersama anak, abah dan bakal suami di rumah sahaja.
Pelakon, Riz Amin
Kedah menang 3-2
PELAKON Riz Amin pula memberitahu gerak hatinya kuat mengatakan bahawa pasukan Kedah akan menang 3-2.
"Saya bukan nak berat sebelah tetapi kita boleh lihat bahawa prestasi pasukan Kedah makin meningkat. Kedah memang terkenal dengan bola sepak sejak dahulu lagi, jadi dengan jurulatih yang profesional dan para pemain Kedah yang memberi sepenuh komitmen, oleh itu saya jangkakan Kedah bakal menang 3-2,” katanya.
Selebriti, Rozita Che Wan
Kedah menang 2-0
BAGI selebriti jelita Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, katanya, walaupun kemungkinan besar Renan Alves tidak dapat turun padang tetapi penyokong Lang Merah mengharapkan gawang pintu gol kedah tidak dapat dibolosi.
"Saya secara peribadi mengharapkan Zaquan dapat beraksi di final nanti dan dapat mencipta sejarah dengan pasukan Kedah, insyaALLAH. Doa semua rakyat Kedah 2-0 utk final nant,” ujarnya bersemangat.
Pelakon, Fauzi Nawawi
Perak menang 3-2
PELAKON, Fauzi Nawawi, 46, percaya pasukan Perak mampu mengalahkan pasukan Kedah di final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
Menurutnya, meskipun kedua-dua pasukan gergasi tersebut mempunyai kekuatan yang sama hebat namun baginya semangat anak jati kelahiran Darul Ridzuan itu mampu memberi tiga mata untuk kemenangan pasukan Perak.
"Kalau nak diikutkan kedua-dua pasukan kuat. Walaupun Perak dah terlalu lama menyepi kemudian tiba-tiba tahun ini mara ke pusingan final, semangat anak Perak ini lain macam.
"Jadi saya yakin sangat pemain pasukan Perak akan bermain dan berjuang habis-habisan dengan dibantu sorokkan semangat daripada para penyokong," katanya berdebar.
Pelakon, penerbit Fadzil Zahari
Kedah menang 2-1
PELAKON dan penerbit, Fadzil Zahari, 35, penuh keyakinan hanya dengan doa selain usaha Skuad Lang Merah, Kedah mampu meraih dua mata bagi menewaskan pasukan Perak yang bakal berentap di di final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, nanti.
"Warga Kedahan ini lain macam! InsyaALLAH semoga dimakbulkan doa rakyat Skuad Lang Merah. Hanya mampu berdoa sahaja dan saya juga akan pastikan isteri saya (Yana Samsudin) turut menyokong sama walaupun dia sokong pasukan JDT.
"Buat penyokong Skuad Lang Merah, ingat asal usul kita, jati diri kita, turunlah ke stadium untuk turut sama membangkitkan semangat pemain Kedah.
"Yang jauh berdoa sahajalah supaya kemenangan menjadi milik pasukan negeri kita. Skuad Lang Merah jangan bantai teruk sangat, 2 - 1 cukuplah tu," ujarnya berseloroh.
Penyanyi, Asmidar
Perak menang 3-0
BAGI penyanyi Asmidar, pasukan Perak sebagai penyandang juara Piala Malaysia tahun lalu, pastinya mempunyai kelebihan dalam aksi Final Piala FA yang akan berlangsung pada Sabtu.
"Biarpun jarang mempunyai kesempatan untuk menonton perlawanan bola sepak di stadium, saya tidak ketinggalan mengikuti perkembangan bola sepak tanah air terutamanya pada perlawanan-perlawanan penting melibatkan pasukan Perak.
"Untuk esok, saya meramalkan Perak akan mengalahkan Kedah dengan jaringan 3-0. Saya percaya dengan persiapan rapi yang dilakukan sebelum ini pasti akan membuahkan kejayaan buat Perak sebagaimana mereka pernah menjuarai Piala Malaysia tahun lalu,” kata Asmidar.
Pelakon, Pelawak Fikry Ibrahim
Kedah menang 2-0
SEMENTARA itu, Fikry Ibrahim yang juga anak kelahiran Jitra, Kedah, pastinya memberikan sepenuh sokongan kepada pasukan hijau kuning untuk menjulang kejuaraan.
"Saya percaya semangat yang lebih tinggi akan ditunjukkan oleh pasukan Kedah dalam perlawanan final Piala FA malam esok. Saya yakin ramai penyokong Kedah akan turun ke stadium dan ini tentunya akan jadi kelebihan kepada pasukan ini.
"Tahun ini merupakan tahun kebangkitan buat skuad Hijau Kuning dan saya jangkakan mereka akan menang dengan jaringan 2-0 ke atas Perak. Kalah tak rebah, menang tak megah, semoga berjaya buat skuad Hijau Kuning esok!” ujar Fikry bersemangat.
Pengacara, Jimmy Shanley
Perak menang 3-1
BAGI pengacara, Jimmy Shanley pula, dia yakin bahawa pasukan Perak akan menang 3-1.
"Sudah tentulah Perak menang sebab orang perak. Pusingan pertama, Perak kena tapi seperti biasa Perak suka buat come back. 3-1 memihak Perak. Pemain Kedah, seorang akan kena kad merah," ramalnya.
Penyanyi, Hafiz Hamidun
Perak menang 3-1
BIARPUN tidak dapat hadir ke stadium memberi sokongan kepada pasukannya, The Bos Gaurus kerana terikat dengan sebuah acara di Tampin, Negeri Sembilan, namun penyanyi Hafiz Hamidun meramalkan Perak akan menang dengan 3-1.
"Mestilah Perak. InsyaALLAH boleh pergi 3-1. Apa pun saya akan cuba menyaksikan perlawanan mereka menerusi penstriman video di telefon bimbit nanti," ujar anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu.