IPOH - Seorang pemuda maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Lahat di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9.15 malam itu, Zul Aszhroy Mohd Sharif, 25, berasal dari Taman Desa Aman di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Kemalangan itu dipercayai membabitkan seekor kerbau namun haiwan itu tidak ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang ke Desa Aman.
"Sampai di tempat kejadian dipercayai mangsa melanggar satu objek yang tidak dapat dipastikan menyebabkan mangsa jatuh dari kenderaannya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan mendapati keadaan lokasi adalah gelap tidak berlampu,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Katanya, pihaknya bagaimanapun tidak dapat mengesahkan objek dilanggar tersebut adalah kerbau berikutan haiwan itu tidak dijumpai di lokasi tersebut.
"Pegawai penyiasat akan memeriksa semula di lokasi kemalangan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.
"Motosikal mangsa dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.