KOTA BHARU - Kelantan tidak menyalahkan warganet mengkritik rakyat negeri ini sebagai 'gedebe' berikutan beberapa kes jenayah sepanjang minggu ini.
Kritikan berkenaan dianggap bertujuan menyedarkan semua semua pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Mumtaz Md Nawi berkata, insiden yang dianggap negatif oleh sesetengah pihak wajar dilihat daripada sudut berbeza.
Menurutnya, kemungkinan ada yang berpendapat episod malang itu sebagai kes terpencil namun ia seharusnya ditangani supaya tidak berleluasa pada masa akan datang.
"Sebagaimana telah maklum kejadian yang berlaku di Kelantan beberapa hari lalu. Semua ini kita anggap ia sebagai 'wake up call' kepada semua.
"Kita sebagai ibu bapa, guru mahupun pemimpin perlu memainkan peranan supaya kejadian negatif ini tidak menjadi perkara biasa dalam masyarakat hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui pada majlis Perkhemahan Pengakap Wanita Kelantan 2019 di Kem Kijang hari ini.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Persekutuan Pengakap Kelantan, Mohammad Nadzree M Salleh dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan Hal Ehwal Wanita, Aniza Yusoff.
Antara kejadian yang mendapat perhatian netizen adalah kes pelajar memijak al-Quran di Tanah Merah, penemuan bayi, guru dirompak, cikgu naik angin serang polis dan telinga seorang lelaki dipotong kerana dituduh mencuri.
Kejadian berkenaan dikecam warganet dan menganggap rakyat Kelantan sebagai 'gedebe' bahkan menyifatkan negeri ini seolah-olah tidak selamat serta tidak Islamik sebagaimana digambarkan.
Mumtaz berkata, kerajaan negeri termasuk portfolionya tidak pernah berdiam diri dalam melaksanakan pelbagai program untuk melahirkan masyarakat beradab.
Bagaimanapun katanya, usaha dilakukan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin keluarga yang lebih dekat dengan masyarakat.
"Kita telah laksanakan pelbagai aktiviti. Mereka yang datang terdiri daripada kumpulan tidak bermasalah dari segi perangainya. Yang sedikit nakal ini tidak sertai program kita.
"Jadi peranan ibu bapa sangat penting untuk mendidik ahli keluarga mereka yang dikesan tidak begitu molek perangainya. Pemimpin keluarga lebih dekat dengan mereka,” katanya.
Pun begitu, biar apa pun digambarkan pihak luar, Mumtaz mahukan rakyat negeri ini kembali kepada realiti sebenar yang mana masyarakat Kelantan sebenarnya sangat penyabar, beradab dan menjaga agamanya.
Mengulas mengenai program melibatkan 162 peserta tersebut pula, Mumtaz berkata, penglibatan murid dengan badan uniform di sekolah termasuk menyertai Pengakap salah satu plaftform mendidik seseorang itu untuk menjadi insan yang baik.