Dua pekerja kilang maut motosikal terlanggar trak tentera

Iklan
Keadaan lokasi kejadian selepas kemalangan di Jalan Utama Taman Tuanku Jaafar, petang tadi.

SEREMBAN - Dua lelaki pekerja kilang maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah trak tentera di Jalan Utama, Taman Tuanku Jaafar, petang tadi.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian lebih kurang jam 2.10 petang itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa berusia 28 tahun bersama pembonceng berusia 42 tahun.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku apabila trak tentera dari arah Kem 15 RAMD Senawang sedang bergerak terus menuju ke Kem Rasah.

"Kemudian datang sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dari arah bertentangan masuk ke simpang kanan secara tiba-tiba menyebabkan trak tentera tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri motosikal mangsa.

Iklan

"Pelanggaran telah menyebabkan mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal tercampak jatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Said berkata, akibat kemalangan, kedua-dua mangsa yang bekerja di kilang Samsung, Senawang itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.