IPOH - Pemuda Pas Perak menuntut agar pihak berwajib segera bertindak terhadap individu dikenali sebagai Wendy Loong yang memuat naik kenyataan serta gambar yang menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook baru-baru ini.
Ketua Pemudanya, Ahmad Faisal Mohd Puait berkata, tindakan individu berkenaan telah mengguris hati seluruh umat Islam khususnya di negara ini.
Menurutnya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia termasuk Polis Diraja Malaysia perlu bertindak segera kerana perkara berkenaan boleh mencetuskan ketegangan kaum selain mengganggu keharmonian negara ini.
"Islam adalah agama keharmonian dan keamanan. Oleh itu, kita mahu semua rakyat di negara ini terutamanya umat Islam terus sepakat khususnya dalam usaha membela agama dan tanah air.
"Tindakan biadab ini adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 298A dan 505(c) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya pada sidang media setelah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh petang tadi.
Menurutnya lagi, tindakan ini merupakan satu penghinaan, mempertikai dan mempersenda, serta bermaksud merendahkan kedudukan agama Islam.
Laporan polis berhubung perkara berkenaan juga turut dibuat di IPD Taiping bagi Zon Utara, IPD Teluk Intan (Zon Selatan) dan IPD Kuala Kangsar bagi Zon Tengah.
Sementara itu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bagan Serai berhubung perkara berkenaan oleh ahli Persatuan Penduduk Taman Serai Maju hari ini.