KUANTAN - Pemeriksaan berterusan bagi memantau penjualan dan kemasukan gula-gula ghost smoke diteruskan ke seluruh Pahang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Sufian Abbas berkata, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap peniaga runcit dan peniaga kawasan sekolah susulan penjualan gula-gula tersebut di empat negeri iaitu Kelantan, Perak, Sarawak dan Johor.
Iklan
Iklan
Menurutnya, inisiatif diambil bagi mengurangkan kebimbangan dan keraguan ibu bapa terhadap gula-gula terbabit yang dibawa masuk dari luar negara oleh syarikat pengimport yang dipercayai berpangkalan di Lembah Klang.
"KPDNHEP dikerahkan membuat pemeriksaan di seluruh negeri dengan menyasarkan premis runcit dan penjaja berhampiran sekolah, selain syarikat pemborong.
"Kita belum terima apa-apa aduan atau aduan daripada ibu bapa mahupun pihak sekolah dan guru. Walaupun pemeriksaan menyeluruh telah dibuat, kita tidak menemukan apa-apa. Boleh jadi setelah usaha besar-besaran ini dilakukan, peniaga bertindak menyimpannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Sufian berkata, pihaknya menerima aduan mengenai peniaga dalam van menjual gula-gula itu di sebuah sekolah di Kuantan yang tular di media sosial.
"Apabila pemeriksaan dijalankan ketika itu, tiada gula-gula ghost smoke ditemui namun kita akan terus memerhati dan membuat pemantauan," katanya.