Harimau betina dipukul sehingga mati

Iklan
Imej rakaman video menunjukkan penduduk kampung memukul seekor harimau betina dewasa menggunakan batang buluh.

LUCKNOW - Jumlah harimau di India dibimbangi berkurangan selepas seekor lagi haiwan itu dipukul sehingga mati oleh penduduk kampung dalam kejadian di negeri Uttar Pradesh minggu ini.

Lebih malang, kejadian itu berlaku di zon dilindungi dalam kawasan rizab harimau di Pilibhit, kira-kira 240 kilometer dari Lucknow.

Iklan
Iklan

Serangan ke atas harimau betina dewasa itu yang turut dirakam dan dimuat naik ke media sosial, mengundang kecaman pihak berkuasa.

Dalam video tersebut, suara seorang wanita kedengaran mendakwa harimau berkenaan telah menyerangnya dan seorang penduduk lain pada waktu awal pagi.

Iklan

Susulan itu, pegawai perhilitan membuat laporan polis ke atas kira-kira 31 individu dan empat daripada mereka telah diberkas.

Majistret daerah Pilibhit, Vaibhab Srivastava berkata, beberapa suspek sudah dikenal pasti dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan.

Iklan

"Penduduk kampung bertindak menghalang pegawai perhilitan membawa harimau berkenaan untuk dirawat doktor veterinar.

"Jika ia dibawa ke klinik tepat pada masanya, mungkin nyawa harimau itu dapat diselamatkan," katanya.

Sejak 2012, daerah Pilibhit telah menyaksikan kematian sekurang-kurangnya 16 ekor harimau dan tiga harimau bintang di tangan penduduk kampung.

Tahun lalu, lebih 100 ekor harimau mati di India dan sekurang-kurangnya 52 kematian haiwan pemangsa itu dicatat tahun ini. - Agensi