Empat emas pembakar semangat Nur Suryani hadapi Sukan SEA

Iklan
Nur Suryani - Foto fail sumber internet

KEJAYAAN membidik empat pingat emas pada Kejohanan Menembak Terbuka Selangor 2019 menjadi perangsang terbaik untuk Nur Suryani Mohamed Taibi memburu keputusan positif pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Penembak veteran kebangsaan berusia 36 tahun itu mengakui, beliau tidak meletakkan sasaran pada kejohanan berkenaan memandangkan beliau hanya menyasarkan untuk memperbaiki jumlah pungutan mata pada kejohanan kali ini.

Iklan
Iklan

"Saya agak berbangga dengan persembahan saya pada kali ini, terutamanya apabila dapat memecahkan rekod kejohanan dalam acara tiga posisi, semalam.

"Jadi, hari ini saya hanya mengekalkan teknik tembakan saya dan tidak menyangka masih dapat meraih emas dalam acara prone hari ini, namun sedikit kecewa kerana acara ini tidak dipertandingkan pada Sukan SEA nanti,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah, di sini, hari ini.

Iklan

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membidik dua emas dalam acara 50m rifle prone individu dan berpasukan pada hari terakhir di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, dekat sini, hari ini.

Beliau meraih emas dalam acara individu dengan catatan 588 mata, disusuli rakan sepasukannya, Haslisa Hamed menggondol perak (584 mata), manakala penembak Perak, Nur Syafani Nabilah Abdul Razak terpaksa berpuas hati dengan gangsa (581 mata).

Iklan

Nur Suryani dan Haslisa bersama Adzween Fadila Daud kemudian, membantu ATM meraih emas dam acara berpasukan dengan catatan 1,751 mata.

Trio Sarawak dan Perak meraih pingat perak dan gangsa setelah masing-masing melakar 1,705 mata dan 1,704 mata.

Untuk rekod, Nur Suryani sebelum itu meraih dua emas dalam acara 50m rifle tiga posisi individu dan berpasukan pada hari kedua kejohanan, semalam.

Beliau memperbaharui rekod kejohanan dalam acara individu dengan catatan 454.3 mata, sekali gus memadam rekod terdahulu iaitu 449.9 mata yang dilakarnya pada edisi 2017.

Dalam pada itu, Nur Suryani mendedahkan beliau akan menyertai Kejohanan Asia Tenggara (SEASA) ke-43 di Jakarta, dari 16-26 Ogos, serta Kejohanan Asia ke-14 di Doha, Qatar dari 3 hingga 11 November ini, namun tidak meletakkan sebarang sasaran khusus dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

"Saya ingin merasai suasana pertandingan dan tidak meletakkan sebarang sasaran bagi mengelakkan saya tertekan apabila beraksi pada Sukan SEA nanti," katanya. - Bernama