Kaji semula program pembangunan sukan untuk lahir atlet berjaya

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR - Persatuan sukan serta pihak berkenaan perlu mengkaji semula program pembangunan sukan di negara ini dengan lebih teliti, dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mengharumkan nama negara, sehingga ke peringkat antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sudah tiba masanya program sedia ada tidak hanya memberi penekanan kepada soal latihan semata-mata, sebaliknya perlu melihat aspek lain yang mampu melahirkan seorang atlet lebih berkualiti dan mempunyai mentaliti untuk menang.

Iklan
Iklan

"Bagaimana hendak menang...kita perlu pastikan setiap atlet telah diberi latihan yang mencukupi, kena cukup makan, tidur, cukup latihan, program-program ini yang perlu kita beri tumpuan.

"Jangan anggap program ini tidak mustahak dan kita hanya mementingkan pada keputusan...keputusan yang tidak akan anda peroleh jika tidak fokus kepada program berkualiti, program boleh membina,” titah Sultan Abdullah dalam satu wawancara khas di Istana Negara baru-baru ini, sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa.

Iklan

Sultan Abdullah bertitah adalah menjadi impian mana-mana pemimpin, apatah lagi sebagai ketua utama negara untuk melihat kejayaan atlet negara menjulang nama Malaysia, kerana sukan dapat menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

"Sukan boleh menyatukan semua bangsa, semua kaum. Anda akan bersorak menyokong Malaysia. Terpulanglah sukan mana sekali pun. Para atlet pasti tahu merekalah harapan setiap rakyat Malaysia. Setiap orang daripada mereka perlu tahu betapa pentingnya untuk menang. Sekali mereka menang, individu ke, pasukan ke, ia akan membantu untuk menyatukan seluruh rakyat,” titah Seri Paduka.

Iklan

Sultan Abdullah dikenali sebagai tokoh cukup aktif dalam pentadbiran sukan terutamanya bola sepak dan pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 2014 hingga 2017 selain memegang beberapa jawatan dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), termasuk Timbalan Presiden, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia AFC 2015 dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan AFC.

Seri Paduka juga pernah memegang jawatan Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Seri Paduka juga pernah menyandang jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM). Seri Paduka juga Penaung Diraja Persekutuan Hoki Asia (AHF). Turut aktif dalam sukan polo, Sultan Abdullah merupakan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) dan Presiden Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC).

Berbicara penuh bersemangat mengenai sukan bola sepak, Sultan Abdullah bertitah Vietnam adalah antara contoh terbaik, apabila pasukan bola sepak negara itu kini berjaya menjadi satu pasukan terkuat di ASEAN, walaupun suatu ketika dahulu ia agak ketinggalan dalam sukan berkenaan.

Titah Seri Paduka, pihak yang berkenaan juga perlu memulakan usaha untuk mencungkil dan melatih bakat baharu untuk mewakili negara dalam setiap bidang sukan bermula dari sekolah rendah lagi dan tidak hanya menumpukan kepada soal akademik semata-mata.

"Kita tidak boleh tunggu untuk berjaya setelah berada di peringkat tahap umur senior sahaja. Peringkat sekolah perlu mencungkil bakat-bakat yang berjaya dan bakat-bakat yang boleh menang.

"Di peringkat umur sembilan tahun, 12 tahun anda perlu menanamkan semangat ingin menang. Bukan sekadar kelas pendidikan jasmani semata-mata. Kalau nak, buat program yang betullah. Selama ini kita tumpukan kepada bidang akademik semata-mata, bukan sukan,” titah Seri Paduka.

Mengulas tentang penglibatan kerabat diraja dan orang politik dalam bidang pengurusan sukan yang dilihat ‘kurang profesional’, Sultan Abdullah bertitah ia bukanlah satu ‘masalah’ kerana yang penting adalah minat ditunjukkan individu yang terlibat dalam bidang berkenaan.

"Sesiapa juga yang mahukan jawatan tinggi atau tampuk kepimpinan, seseorang itu harus menambah nilai, mempunyai minat yang dalam, apakah awak boleh bawa penaja, apakah awak boleh bawa program yang memajukan sukan. Bukan sekadar hendak menggunakan posisi itu untuk peribadi, kehebatan diri sendiri atau agenda peribadi...tidak kira sama ada anda seorang ahli politik, kerabat diraja, ahli korporat, jika anda mempunyai minat yang tinggi, anda perlu menambah nilai kepada sukan itu,” titah bekas Presiden FAM itu.

Menyentuh tentang perkembangan sukan bola sepak di negara ini yang dilihat ‘malap’ berbanding semasa zaman Pestabola Merdeka, dengan dibarisi pemain berbakat seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Seri Paduka bertitah perkara itu tidak seharusnya berterusan dan dijadikan perbandingan.

"...jika kita asyik mengulang-ulang kisah-kisah kejayaan lama, kita tidak akan pergi jauh. Kita perlu memikir ke hadapan, kita gembira dulu kita adalah juara, tetapi kita perlu maju ke hadapan. Kita telah membetulkan apa yang perlu, kita mesti menang. Dalam lima tahun, 10 tahun kemudian. Jika kita masih mengulang-ulang cerita-cerita lama sampai ke tualah kita,” titah Sultan Abdullah yang memilih pasukan Brazil untuk menjuarai Piala Dunia FIFA 2022.

Seri Paduka bertitah pengurusan dan pemain bola sepak negara kini perlu menggiatkan usaha untuk terlebih dahulu melayakkan diri ke Piala Dunia 2030, supaya selari dengan idea negara-negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia untuk membida bersama penganjuran Piala Dunia 2034.

Menjelaskan perkara diketengahkan itu sebenarnya adalah idea lama Seri Paduka semasa menjadi Presiden FAM, Sultan Abdullah bertitah tiada yang mustahil jika semua pihak memainkan peranan dan mula melakukan program di peringkat akar umbi, kerana kejayaan membida menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak berprestij itu tidak akan bermakna tanpa pasukan yang baik.

Untuk rekod, jika China berjaya dalam bidaan untuk Piala Dunia 2030, peluang sangat tipis buat ASEAN untuk menjadi tuan rumah edisi seterusnya kerana kejohanan itu tidak boleh diadakan di benua sama berturut-turut.

"Ketika itu slot Asia belum ditetapkan lagi, saya dah fikir jauh. Semasa itu China dan Korea belum lagi nak masuk, tetapi sekarang nampak banyak negara lain terutama China berminat dan mereka dah belanja begitu besar (untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030).

"Saya percaya satu hari nanti China akan menjadi juara dunia. Ini satu cabaran buat kumpulan ASEAN untuk membida ini. Namun saya anggap peluang ini masih lagi seimbang (50-50) kerana tak pernah (negara) ASEAN menganjurkan Piala Dunia. Itulah satu-satunya peluang untuk kita membida,” titah Sultan Abdullah. - Bernama