Zuraida persoal tujuan perakuan sokongan terhadap Anwar

Iklan
Zuraida Kamaruddin

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin tidak menolak kemungkinan wujud 'gerakan yang disusun' berhubung perakuan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan pemimpin cabang parti itu sejak kebelakangan ini.

Dalam masa sama, Zuraida turut mempersoal tujuan tandatangan pemimpin Cabang PKR yang dikumpulkan dalam perakuan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada presiden parti itu.

Iklan
Iklan

"Soalnya untuk apa tandatangan ini dikumpul? Bukankah Presiden parti tidak dicabar dalam pemilihan lalu? Sebagai anggota parti, tentulah pemilihan parti yang lalu jelas keputusannya.Maka apa justifikasi yang memerlukan tandatangan menyokong presiden ini?

"Ia hanya menimbulkan persoalan yang mencerminkan ketidakstabilan kedudukan presiden," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Iklan

Menurut Zuraida lagi, selain"gerakan yang disusun”, beliau juga berpandangan pihak yang menandatangani perakuan sokongan itu tidak semestinya mendokong presidennya.

"Ingin saya ingatkan bahawa pihak yang menandatangani perakuan sokongan tersebut bukanlah sebenar-benarnya mendokong, tetapi mungkin didorong rasa terintimidasi dan dilakukan atas dasar terpaksa,” katanya.

Iklan

Tambahnya lagi, tindakan tersusun yang dilakukan itu juga secara tidak langsung mengesahkan lagi kedudukan Anwar sebagai pemimpin nombor satu parti itu tidak stabil.

Semalam, PKR Pahang menjadi kumpulan terbaharu yang membuat perakuan sokongan terhadap Anwar.

Sebelum itu, Pulau Pinang, Perak dan Johor tampil membuat perakuan sokongan terhadap presiden parti mereka.

Khabar angin yang mendakwa berlaku perpecahan dalam parti itu semakin ketara susulan penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang pemimpin parti parti tersebut.

Terdahulu, ikrar sokongan yang ditandatangani empat negeri itu mempunyai kandungan sama yang ditandatangani 22 pemimpin PKR ketika sesi pemukiman parti itu di Port Dickson minggu lalu.