KUANTAN - Seorang guru kerugian RM2,200 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.
Mangsa berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Lipis tertarik dengan pakej pelaburan yang diiklankan sebuah syarikat setelah melayari laman sosial itu pada 2 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, syarikat terbabit menawarkan lima pakej pelaburan dengan bayaran serendah RM700 untuk pakej silver, RM1,500 (gold), RM2,500 (platinum), RM4,500 untuk pakej diamond dan pakej VIP, RM6,000.
Menurutnya, tertarik dengan salah satu pakej pelaburan yang ditawarkan, mangsa menghubungi ejen pelaburan melalui nombor telefon yang tertera pada iklan untuk berurusan pada 20 Julai lalu.
"Mangsa yang berminat untuk membuat pelaburan bersetuju dengan syarat yang ditetapkan lalu membuat bayaran RM700 untuk pakej silver melalui pindahan wang ke sebuah akaun bank yang diberikan suspek.
"Mangsa juga membuat transaksi kedua ke dalam akaun yang sama sebanyak RM1,500 untuk yuran pelaburan," katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas pembayaran dijelaskan, mangsa diminta membuat bayaran tambahan RM2,800 kononnya untuk kos yuran antarabangsa.
"Mangsa yang mula curiga tidak membuat bayaran tambahan seperti diminta dan cuba menghubungi suspek untuk penjelasan lanjut. Bagaimanapun suspek gagal dihubungi apabila panggilan mangsa disekat," katanya.
Beliau berkata, setelah tersedar telah ditipu mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.
"Susulan laporan dibuat mangsa, kita buka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain mengesan suspek terlibat," katanya.