BATU PAHAT - Seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dibelit seekor ular sawa yang masuk ke dalam keretanya di Kolej Vokasional Batu Pahat di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, mangsa ang juga pemandu kolej berusia 59 tahun itu sebelum itu sempat memaklumkan kejadian tersebut kepada anaknya kira-kira jam 9 malam.
"Anak mangsa memberitahu bapanya dibelit ular sawa yang cuba dikeluarkan dari dalam keretanya sebelum mengalami sesak nafas.
"Mangsa juga dikatakan mempunyai masalah kesihatan iaitu mudah sesak nafas tetapi tidak pernah membuat rawatan di hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, terdapat saksi cuba membantu mangsa yang dalam keadaan lemah ketika ditemui sebelum menghantar mangsa ke hospital.
"Daripada keterangan saksi juga tidak nampak jelas yang apa yang berlaku, cuma menyatakan ular membelit tangan kiri mangsa.
"Mangsa meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat," katanya.
Muhammad Izzudin berkata, laporan bedah siasat menyatakan punca kematian disebabkan penyakit jantung dan bukan disebabkan belitan atau patukan ular.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang guru wanita berumur 57 tahun cedera di bahagian dada, perut dan tangan selepas cuba disamun di parkir kereta sebuah pasar raya di daerah ini.
Muhammad Izzudin berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, mangsa yang ingin masuk ke dalam keretanya didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali sebelum suspek cuba meragut beg tangan mangsa.
"Berlaku sedikit pergelutan apabila mangsa enggan melepaskan beg tangannya itu. Suspek yang berang dengan tindakan mangsa kemudian mencederakan mangsa dengan senjata tajam.
"Mangsa dikejarkan ke HSNI Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan di bahagian dada, perut dan tangan," katanya.
Menurutnya, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat pihak polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera semasa melakukan samun," katanya.