PELAKON, Shah Iskandar memberitahu dia baru sahaja mahu bergiat aktif di platform popular, Instagram (IG).
Sebelum ini, aktor drama Jodoh-Jodoh Annisa itu, mengakui dia merupakan seorang yang keras kepala dan menganggap IG bukanlah tempat untuk mempromosikan diri.
"Saya sebenarnya baru sahaja tahu dan faham macam mana fungsi Instagram ini. Ada muzik dan gambar yang boleh dan tak boleh dimuat naik. Aplikasi Smule pun begitu, saya baru nak main.
"Saya banyak ketinggalan zaman mungkin kerana terlalu keras kepala. Bagi saya Instagram ini, bukannya platform untuk menjual diri," ujarnya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Amukan Kuntilanak di Ruang, Shah Alam.
Secara peribadi, Shah berkata, dengan adanya platform sebegitu ia dapat mengeratkan hubungan antara peminat bersama artis kesayangan mereka. Malah, pelakon berusia 37 tahun itu juga sudah mempunyai persepsi positif.
"Sebelum ini pandangan saya terhadap Instagram, hanyalah ruang peribadi sekadar berkongsi gambar sahaja. Namun zaman dah berubah, kelebihan platform seumpama itu dapat merapatkan hubungan antara peminat dengan artis mereka.
"Kalau dahulu peminat dapat berjumpa dan berinteraksi dengan artis mereka hanya menerusi sesi meet & greet. Tapi sekarang, rupanya dah boleh membalas komen dan meet & greet secara maya sahaja.
"Itulah kesilapan yang pernah saya buat. Jadi saya kena tukar prinsip dan pemikiran saya yang mana sebelum ini saya fikir hanya bersandarkan bakat dan rupa untuk menyerlah.
"Bagaimanapun, menerusi kelebihan di media sosial seperti Instagram juga mampu mengetengahkan selebriti itu," katanya kesal.