GEORGETOWN - Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kejam kerana sehingga hari ini masih membekukan akaun dan harta parti itu walaupun tiada bukti yang menunjukkan UMNO menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, selepas setahun tindakan itu dibuat dan tiada sebarang bukti dapat dikaitkan dengan 1MDB seharusnya kerajaan memulangkan kembali akaun dan harta milik UMNO.
"Majlis Tertinggi UMNO telah membuat keputusan untuk membuat kutipan dana awam disebabkan akaun parti masih lagi dibekukan.
"Ini suatu tindakan yang kejam kerana di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen mereka tidak menyekat pembangkang daripada terus bergerak dan sepatutnya akaun dan harta milik UMNO perlu dikembalikan," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor di sini pagi tadi.
Hadir sama, Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim serta Timbalan Ketua Muslimat Pas, Maziah Kamis.
Rabu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan melancarkan tabung mengumpul dana dalam masa terdekat sebagai persiapan parti terbesar Melayu itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya lagi, tujuan tabung tersebut diwujudkan bagi membiayai aktiviti parti yang ketika ini menghadapi kekangan kewangan akibat penyitaan serta tindakan perundangan.
Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, antara sebab utama mengapa kerajaan PH enggan memulangkan kembali akaun UMNO kerana pemimpin mereka tidak mahu melihat UMNO kembali bergerak dengan bebas.
"Mereka tak nak UMNO bebas bergerak kerana bila kita ada dana kita akan dapat bantu masyarakat dan boleh bergerak lebih bebas dan lancar lagi.
"Apa yang dilakukan oleh kerajaan PH jelas tidak adil dalam sistem demokrasi malah dalam semua parti politik, dana politik adalah perkara biasa kenapa pula dalam kes UMNO nak disekat, nak dilucut hak harta dan sebagainya,” katanya.