ALOR SETAR - Sistem job portal yang giat dibangunkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijangka beroperasi pada Oktober depan.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya mengambil inisiatif membangunkan portal itu bagi memudahkan carian kerja dibuat mereka yang memerlukan.
Menurut Mohammed, Perkeso berusaha membangunkan sistem itu kerana menyedari kepentingan sistem job portal dalam proses carian pekerjaan.
"Jikalau lihat dalam proses carian pekerjaan. Job portal itu penting. Kita dapati kebanyakan pekerja akan mendapat pekerjaan melalui job portal.
"Apabila sistem siap Oktober nanti, kita yakin ia dapat membantu lebih 50 peratus orang awam yang sedang dalam mencari pekerjaan," katanya pada sidang media sempena Karnival Pekerjaan EIS Perkeso Kedah 2019 di Aman Sentral di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar, Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai, Adun Kota Darul Aman, Teh Swee Leong dan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Datuk Mohd Sahar Darusman.
Menurut beliau, sistem dibangunkan Perkeso ini diyakini berbeza, sekali gus lebih baik dari kebanyakan portal carian pekerjaan sedia ada.
"Apa yang membezakan portal ini, macam-macam kriteria dimasukkan. Misalnya, jenis pekerjaan, kelulusan, lokasi dan latih diperlukan untuk individu mencari kerja," katanya.
Dr Mohammed Azman berkata, banyak parameter yang dimasukkan ke dalam sistem job portal dibangunkan untuk membantu orang awam itu.
Dalam perkembangan sama, katanya, Perkeso bersedia untuk 'memegang tangan' pencari kerja yang kurang mahir untuk mendapat pekerjaan, seperti menyediakan resume, memberi kaunseling dan mencari majikan bersesuaian.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sistem bakal diperkenalkan dalam tempoh terdekat berkenaan diharapkan memudahkan golongan pencari pekerjaan.
Terdahulu, Mahfuz merasmikan karnival pekerjaan membabitkan 20 majikan pelbagai sektor yang menawarkan lebih 1,000 kekosongan jawatan diadakan buat julung-julung kalinya di negeri ini.