KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menjenamakan semula semua durian kampung di negeri ini sebelum didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, apabila dilakukan penjenamaan semula dan didaftarkan, hasil buah berkenaan boleh dikomersialkan dan diperluaskan lagi penanamannya.
"Memang perkara ini (penjenamaan semula) sudah mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kita sedang mengenal pasti jenis durian dihasilkan di Pahang untuk disenaraikan dalam inventori bagi memudahkan proses penjenamaan semula.
"Saya melihat proses penjenamaan semula ini sangat penting kerana ia dapat meningkatkan pendapatan pengusaha buah-buahan itu sendiri dan kita ada jumpa durian kampung lagi sedap daripada buah-buah komersial," katanya selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Taman Bandar, Indera Mahkota di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Datuk Zahimi Hassan dan Pengerusi PASFA, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid.
Menurutnya, sebagai contoh durian Musang King dapat dijual pada harga mencecah RM300 sekilogram di China hanya kerana namanya Musang King, sedangkan terdapat durian hijau Beserah yang tidak kurang hebatnya tapi hanya dijual pada harga RM28 sekilogram," katanya
Dalam pada itu, ketika berucap, Mohd Soffi berkata, kerajaan Pahang mencatatkan kira-kira 1 bilion tan metrik dengan nilai perolehan sebanyak RM22.45 bilion bagi industri sub sektor akuakultur sepanjang tahun lalu.
"Kerajaan negeri optimis jumlah perolehan itu dijangka meningkat tahun ini berdasarkan permintaan yang sangat menggalakkan terutamanya melalui eksport udang putih dijalankan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan kerjasama syarikat dari Korea Selatan.
"Ini adalah antara usaha meningkatkan hasil akuakultur di Pahang dan kerajaan negeri sudah memperkenalkan sistem zon di beberapa kawasan yang sesuai untuk dibangunkan pada skala besar melalui kerjasama anak syarikat kerajaan negeri dan pelabur dari luar negara," katanya.
Menurutnya, kerjasama yang paling berjaya ketika ini ialah penternakan udang laut di Kampung Pulau Permatang Pauh, Pekan dan hasilnya sudah berjaya dieksport ke luar negara.
"Bagi memastikan sektor akuakultur Pahang terus berdaya saing, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan negeri dan agensi berkaitan sedang mencari cara untuk mengatasi cabaran berikutan kenaikan kos input pengeluaran selain memperkenalkan bantuan kepada penternak.
"Berdasarkan rekod yang kita ada, buat masa ini terdapat kira-kira 1,600 penternak akuakultur di seluruh Pahang dengan penternak sangkar air tawar adalah paling ramai dengan 1,065 orang. Antara bantuan yang diberikan kepada mereka (penternak) ialah makanan rumusan, benih dan sangkar serta khidmat nasihat secara percuma kepada mereka," katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 110 gerai jualan dan pameran disediakan sepanjang tiga hari penganjuran program sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan selama tiga hari yang berakhir esok.