KUNAK - Kejadian kanak-kanak perempuan maut akibat terjatuh ketika melalui jambatan gantung rosak di Kampung Porotawai, Tongod, pada Selasa lalu, menjadi pengajaran penting kepada pihak kepimpinan agar amanah menjalankan tugas masing-masing.
Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif berkata, kejadian sedih itu menjadi penanda aras kepimpinan di akar umbi misalnya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) selepas ini agar lebih peka dengan keadaan sekeliling.
"Ini termasuk mereka perlu aktif meninjau keadaan kawasan kampung masing-masing seperti melihat dan memeriksa fasiliti yang menjadi kegunaan awam supaya sentiasa selamat digunakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Murid prasekolah lemas selepas jatuh dari jambatan gantung
"Kemudahan rosak perlu dimaklumkan kepada wakil rakyat, atau ambil tindakan selesai masalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan minggu tanpa tembakau peringkat Sabah di sini hari ini.
Pada Selasa itu, kira-kira 12 tengah hari, seorang murid prasekolah yang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama beberapa rakannya jatuh ke sungai dari jambatan gantung berkenaan.
Mangsa, Angelliena Juilan, 6, jatuh ke sungai dan lemas sebelum disahkan meninggal dunia. - Bernama