RAMALLAH - Kekejaman tentera Zionis terhadap penduduk Palestin yang berhimpun di sempadan Gaza-Israel berterusan apabila seorang lagi ditembak mati dalam kejadian terbaharu semalam.
Saksi berkata, tentera Israel melepaskan peluru hidup bagi menyuraikan penduduk yang menyertai protes 'Great March of Return' yang memasuki minggu ke-68.
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan mangsa yang terbunuh sebagai Ahmad Mohammad al-Qarra.
Pemuda berusia 22 tahun itu ditembak di bahagian perut dan meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya ketika dirawat di sebuah hospital di Khan Younis.
ARTIKEL BERKAITAN: Zionis musnahkan perkampungan Al-Araqib buat kali ke-147
Ia adalah kematian pertama dalam masa beberapa minggu dengan Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berusaha menenangkan keadaan di sempadan.
Ribuan penduduk Palestin berhimpun di sepanjang pagar sempadan sejak protes besar-besaran tercetus pada 30 Mac tahun lalu.
Perhimpunan itu bertujuan meningkatkan tekanan kepada Israel supaya melonggarkan sekatan dan kepungan yang dikenakan ke atas Gaza sejak 12 tahun lalu.
Ia juga bertujuan menuntut hak untuk pulang ke kampung halaman dan tanah yang dirampas oleh rejim Zionis pada 1948. - Agensi