ALOR SETAR - Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tukang karut baharu dilahirkan kumpulan dikir barat 'PASNO'.
Beliau berkata sedemikian ketika mengulas saranan Hadi supaya Amanah menggunakan logo DAP dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang memandangkan parti itu menang atas sokongan DAP dan tidak ada kekuatan di kawasan Melayu.
Mahfuz berkata, beliau mendapati Hadi kini seolah-olah mengambil alih peranan UMNO sebagai tukang karut untuk menakutkan pengundi Melayu.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada UMNO yang berjaya mencipta tukang karut baharu, yang mana dahulunya UMNO yang mengambil peranan sebagai tukang karut untuk takutkan pengundi Melayu.
"Ketika itu, Pas dikatakan ada hubungan dengan DAP. Saya ingat lagi Presiden Pas nafi dan kata tiada masalah, wajib sokong DAP dan haram sokong UMNO sampai kiamat," katanya.
Bagaimanapun, Mahfuz berkata, kini Hadi menjadi tukang karut baharu yang dilahirkan 'PASNO' apabila mula menjalinkan persahabatan dengan UMNO.
Sebelum ini, Hadi memberi saranan supaya Amanah menggunakan logo DAP dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang demi menyambung talian hayat parti itu.
Hadi berkata sedemikian ketika ditemui media selepas berakhirnya Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang, kelmarin.