13,823 orang berjaya dapat kerja semula

Iklan
Mahfuz (empat dari kiri) menyerahkan surat penghargaan kepada peserta Program Penempatan Pekerjaan Semula Perkeso, Mohd Amirul Amran (tiga dari kiri) pada Karnival Pekerjaan EIS Perkeso Kedah 2019 di Aman Sentral hari ini.

ALOR SETAR - Seramai 13,823 individu yang hilang pekerjaan berjaya ditempatkan semula dalam pelbagai bidang dan industri sehingga 15 Julai 2019 sejak Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) diperkenalkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, EIS dikuatkuasakan pada 1 Januari 2018 dan faedah penuh EIS mula dilaksanakan pada 1 Januari 2019.

Menurutnya, di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bertanggungjawab menguruskan pembayaran faedah kepada kes pemberhentian kerja Orang Berinsurans (OB) seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 30 Akta 800.

Iklan
Iklan

"Sehingga 15 Julai lepas, Perkeso menerima 23,284 permohonan faedah EIS melibatkan bayaran faedah sebanyak RM42.12 juta, yang mana daripada jumlah itu, 18,154 pekerja disahkan hilang pekerjaan.

"Malah sejumlah 1,167 kes kehilangan pekerjaan yang dilaporkan di bawah EIS dicatatkan di Kedah," katanya pada sidang media bersempena Karnival Pekerjaan EIS Perkeso Kedah 2019 di Aman Sentral di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong; Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Datuk Mohd Sahar Darusman.

Mahfuz berkata, sebanyak 5,027 atau 21 peratus permohonan kehilangan pekerjaan yang diterima didapati dari sektor pembuatan.

Iklan

Katanya, ia diikuti 2,556 atau 11 peratus dari sektor pentadbiran dan keselamatan sosial serta 2,292 atau 10 peratus dari sektor maklumat dan komunikasi.

"Bagaimanapun seramai 13,823 OB berjaya kembali bekerja sehingga 12 Julai 2019 melalui pelbagai usaha diambil Perkeso," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati pencapaian ditunjukkan EIS sangat baik hasil komitmen semua pegawai dan anggota Perkeso dalam tempoh enam bulan pelaksanaannya.

Terdahulu, Mahfuz turut menyerahkan surat penghargaan kepada peserta Program Penempatan Semula Perkeso dan faedah elaun mencari pekerjaan kepada orang berinsurans.