SHAH ALAM - Hari kedua Jualan Gudang Pertengahan Tahun Karangkraf lebih meriah dengan penampilan maskot popular, Upin dan Ipin serta maskot Teddy yang didatangkan khas untuk bertemu dengan pengunjung-pengunjung cilik yang hadir.
Suasana jualan yang pada awalnya berlangsung agak perlahan tiba-tiba bertukar rancak dan ceria apabila sebahagian daripada pengunjung yang hadir, mula berkumpul dan memenuhi pekarangan kid's corner yang disediakan di bahagian jualan buku kanak-kanak serta buku pendidikan.
Editor Buku Kanak-kanak, Ismawannie Ismail ketika ditemui berkata, penampilan khas maskot Upin dan Ipin serta maskot Teddy adalah antara program yang disusun pihaknya bagi menarik lebih ramai pengunjung khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta ibu bapa untuk datang ke jualan gudang selama 10 hari bermula semalam sehingga 4 Ogos ini.
Beliau berkata, penampilan maskot ini bagaimanapun hanya dibuat pada jualan hari minggu serta cuti umum sahaja iaitu pada 27, 28 dan 30 Julai serta pada 3 dan 4 Ogos nanti.
"Kita dapat lihat kehadiran maskot ini memberi kesan positif kerana jualan buku kanak-kanak lebih rancak berbanding semalam," katanya.
Menurut Ismawannie, para pengunjung bukan sahaja boleh membawa anak-anak untuk bertemu maskot-maskot ini, malah bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun, mereka boleh menyertai pertandingan mewarna, berkaraoke serta bermain pelbagai aktiviti yang disediakan.
"Berdasarkan jualan hari ini, kebanyakan ibu bapa dilihat membeli pakej poster dengan paparan interaktif Augmented Reality (AR) antaranya seperti poster sifir, ABC, doa serta bacaan solat. Selain itu, kamus bergambar Omar&Hana juga antara produk jualan terbaharu di bawah imprints Kids Prima yang turut menjadi pilihan ibu bapa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.
Selain itu, Ismawannie berkata, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pakej jualan buku bacaan kanak-kanak antaranya yang boleh didapati pada harga RM20 untuk lima naskhah, tiga naskhah pada RM20, dua naskhah RM15 dan banyak lagi.
Sementara itu, Koordinator Jualan Bestari Karangkraf, Nur Hanis Adibah Nor Azmi berkata, jualan di bahagian buku pendidikan juga lebih laris pada hari ini berbanding hari pertama semalam.
"Mungkin sebab hari minggu jadi ibu bapa dapat bercuti dan bawa anak-anak mereka untuk dapatkan buku-buku latihan di sini dengan harga yang jauh lebih murah. Selain itu, ada juga guru-guru pra-sekolah yang datang membeli dalam kuantiti yang banyak.
"Kesemua buku yang dijual adalah mengikut silibus mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah. Untuk buku-buku latihan sekolah rendah kita buat promosi boleh dapat lima buku pada harga RM10 dan bagi buku UPSR terdapat tiga jenis iaitu buku ramalan, klon dan intensif mengikut sukatan peperiksaan," katanya.
Menurutnya, pengunjung juga boleh dapatkan buku-buku latihan untuk Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) serta buku soalan format peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan modul efektif mengikut topik.
Katanya, turut dijual buku rujukan peta minda bagi subjek Sejarah (tingkatan 4&5), Sains (tahun 1-3 dan 4-6) serta 'grammar book - my yellow book' (tahun 3-6) pada harga RM6.90 (ahli) dan RM7.50 (bukan ahli).