KUANTAN - Sejumlah RM50.9 juta telah dibiayai Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) kepada 478 penerima geran Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) di Pahang sehingga April 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said berkata, bagi pembiayaan peserta Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) pula sebanyak RM2.85 juta dikeluarkan kepada 190 peserta dari Pahang untuk tempoh sama.
Menurutnya, dua pembiayaan ini adalah salah satu daripada cabang inisiatif kerajaan untuk menyuntik semangat keusahawanan kalangan masyarakat selaras Dasar Keusahawanan Nasional yang dilancarkan baru-baru ini.
"Tube antara program yang mendapat penyertaan paling menggalakkan di kalangan anak muda. Untuk tahun 2019, kita memperuntukkan pembiayaan kepada 500 peserta namun kita terima sekitar 10,000 permohonan.
"Daripada jumlah itu kita telah menemuduga 2,020 calon dengan 1,600 daripadanya hadir kursus. Ini adalah inisiatif tahunan bagi menggalakkan pembentukan usahawan kalangan anak muda," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Pantai Timur di Teluk Chempedak, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.
Menurut Noor Azmi, Karnival Keusahawanan Pantai Timur telah mencatatkan RM7.6 juta potensi jualan melalui 107 sesi pemadanan perniagaan yang melibatkan 44 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Sesi pemadanan perniagaan itu melibatkan enam syarikat pemaju iaitu Petron, Petronas, Koperasi, Pasaraya Darul Makmur, Eng Hong dan Asean Mall.
"Ia inisiatif kerajaan untuk memberi informasi berkaitan pembiayaan dan program pembangunan usahawan yang ditawarkan agensi kerajaan dan swasta," katanya.