JOHOR BAHRU - Seorang remaja lelaki meninggal dunia akibat lemas ketika mandi manda di Air Terjun Taka Melor, Labis dekat Segamat, hari ini, manakala dua rakannya berjaya diselamatkan orang awam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Appandi Khalid berkata, kejadian berlaku semasa Mohammad Danial Mohd Yuslizan, 16, yang berasal dari Bukit Siput, Segamat bersama rakan-rakannya sedang mandi manda di kawasan itu.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.31 petang.
"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati terdapat seorang mangsa lemas yang ditemui orang awam, dan mayat diserahkan kepada pihak polis serta pegawai kesihatan untuk pengesahan kematian," katanya menerusi kenyataan malam ini.
Beliau berkata difahamkan Mohammad Danial bersama lima rakan lain yang berumur antara 16 dan 17 tahun datang ke Labis dengan menaiki motosikal untuk menikmati durian di dusun datuknya di Kampung Tenang, Labis, sebelum beredar ke tempat air terjun berkenaan yang terletak kira-kira dua kilometer dari dusun itu.
"Ketika kejadian hanya tiga mangsa dilaporkan lemas, namun, dua daripadanya berjaya diselamatkan oleh orang awam yang ada di lokasi," katanya dan menambah identiti kesemua mereka sedang dikenal pasti pihak berkuasa, memandangkan mereka didapati tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.
"Mayat Mohammad Danial dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat, dan operasi menyelamat ditamatkan pada kira-kira pukul 7.00 malam,” katanya. - Bernama