Naja tanda kebesaran mukjizat al-Quran

Iklan
Abdul Hadi (kanan) menerima kunjungan Naja dan Dahlia di Rusila di sini.

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan cabaran kehidupan seorang kanak kanak, Muhammad Naja Hudia Afifurrahman Hidayat, 9, sebagai satu inspirasi yang harus dicontohi semua.

Malah pemimpin tertinggi parti Islam itu menyifatkan Naja yang menghidap Cerebral Palsy atau lumpuh otak sejak kecil itu sebagai salah satu tanda kebesaran mukjizat al-Quran yang kekal hingga hari ini.

Iklan
Iklan

"Saya menerima kunjungan tetamu yang mulia, anakanda Muhammad Naja Huda Afifurrahman Al-Hafiz yang merupakan seorang yang lumpuh otak tetapi menghafal Al-Quran.

"Beliau bukan sahaja berjaya menghafal keseluruhan ayat-ayat suci Al-Quran, bahkan mampu untuk mengingati nombor ayat, nama surah dan halaman.

Iklan

"Semoga kemampuan beliau dalam menghadapi cabaran hidup menjadi inspirasi kepada semua," katanya setelah menerima kunjungan Naja dan ibu kanak kanak itu, Dahlia Andayani Suparlan, 38, di Rusila di sini.

Abdul Hadi berkongsi kunjungan Naja dan Dahlia yang berada di negara ini sehingga 1 Ogos depan sempena program menjelajah ke beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu itu di Facebooknya.

Iklan

"Tahniah juga kepada ibu Muhammad Naja yang berjaya mendidik anaknya dengan baik. Inilah salah satu tanda kebesaran mukjizat Al-Quran yang kekal hingga hari ini. Subhanallah," kata Ahli Parlimen Marang itu.

Naja adalah salah seorang peserta dalam rancangan Hafiz Indonesia 2019 yang menjadi tular di laman sosial apabila kemampuannya mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran walaupun dirinya serba kekurangan.

Kanak kanak istimewa itu di bawa ke Malaysia oleh Syabab Care selepas dipertemukan dalam beberapa misi kemanusiaan pertubuhan itu di Lombok sebelum ini.