KUALA LUMPUR - Mimik muka, bahasa tubuh dan tutur kata digunakan ketika membuka cerita mengenai Tenun Pahang, sudah cukup untuk menggambarkan perasaan cinta yang amat mendalam Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap fabrik eksklusif itu.
Peranan Raja Permaisuri Agong itu memartabatkan khazanah dianggar berusia kira-kira 300 tahun itu telah meletakkan tenun Pahang dalam kelasnya yang tersendiri dalam industri tekstil negara.
"To champion a cause, you must be seen wearing it. Not because saya terpaksa tapi I memang love Tenun Pahang, the beauty, the design (Untuk menjuarai sesuatu, anda perlu dilihat memakainya. Bukan kerana saya terpaksa tapi saya memang suka Tenun Pahang, kecantikan, rekabentuknya),” titah Permaisuri berjiwa seni itu dalam wawancara khas dengan Bernama sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini.
Tidak tertumpu kepada tenun Pahang semata-mata, puteri raja dari Johor itu turut cenderung mempelajari dan meneroka seni tekstil warisan lain termasuk batik, seni tekat dan songket, yang terkenal sebagai antara fabrik busana diraja Kesultanan Melayu suatu ketika dahulu.
Titah Tunku Azizah, golongan istana mempunyai peranan besar dalam memastikan kelangsungan fabrik warisan tempatan agar ia tidak lapuk dek zaman.
"Di mana-mana pun di dunia, it starts from the istana, whether tekat or songket, only now it is accesible for everyobody to wear (Di mana-mana pun di dunia, ia bermula dari istana, sama ada tekat atau songket, cuma sekarang ia senang didapati untuk dipakai semua orang)
"Kalau dulu-dulu hanya di istana sahaja pakai tenun, hanya di istana sahaja bertekat, so there is a role that the palace play in the revival of Malay cloth (jadi ada peranan yang dimainkan istana dalam menghidupkan semula busana Melayu),” titah baginda yang menekankan peranan itu bagaimanapun harus disertai dengan minat dan kesungguhan.
Pandangan itu pernah dikongsi baginda ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'The Revival of the Malay Cloth: The role of the Palace In The Revival Of The Malay Cloth' pada Simposium Tekstil Asean di Chiangmai, Thailand, pada 2015.
"Bukan apalah, you may lead an association, but if you have no passion about it, it's not done... so you must be passionate in whatever you do (anda mungkin menerajui sebuah persatuan, tetapi sekiranya anda tidak mempunyai semangat terhadapnya, ia tidak dapat dilakukan... jadi anda perlulah bersemangat dalam apa juga yang anda lakukan),” titah Tunku Azizah.
Berbalik kepada tenun Pahang, Tunku Azizah yang memilih mengenakan persalinan daripada fabrik berkenaan pada hari paling bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong mengakui tidak sabar untuk 'mempamerkan' keindahan pakaian yang dihasilkan di sebalik tirai besi oleh penghuni Penjara Penor, Pahang.
"I think belum pernah ada di dunia, a queen is wearing a fabric that is woven by prisoners, but they have done a beautiful job (Saya fikir belum pernah berlaku di dunia, seorang permaisuri memakai fabrik yang ditenun oleh banduan, tetapi mereka telah lakukan satu hasil yang indah),” titah Tunku Azizah dengan perasaan teruja yang cukup jelas terpancar di wajah. - Bernama