Doa Agong untuk Malaysia

Iklan
AL-SULTAN ABDULLAH

TUANKU dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang pada usia 16 tahun pada tahun 1975. Tuanku telah melalui tempoh pengalaman yang begitu panjang. Tuanku juga dididik dan diberikan pendedahan oleh Ayahanda Tuanku, Almarhum Sultan Ahmad Shah sejak kecil sebelum menjadi Tengku Mahkota Pahang, Sultan Pahang dan sekarang sebagai Yang di-Pertuan Agong. Apakah perkara paling terkesan yang Tuanku dapat pelajari daripada Almarhum Ayahanda Tuanku?

AL-SULTAN ABDULLAH: Saya bersyukur, Alhamdulillah kerana saya dianugerahkan jawatan yang begitu tinggi iaitu jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, saya telah mula dilantik oleh Almarhum Paduka Ayahanda saya selaku Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang seawal umur saya 16 tahun selepas nenda saya, Almarhum Sultan Abu Bakar mangkat pada tahun 1974. Daripada situ, saya diberi segala tanggungjawab, segala amanah oleh Almarhum Paduka Ayahanda saya dengan pelbagai urusan kerajaan, urusan keluarga dan urusan yang berkaitan dengan sukan.

Saya anggap segala tanggungjawab yang diberi kepada saya pada usia begitu muda adalah suatu pendedahan kepada saya oleh Almarhum Paduka Ayahanda. Dengan cara ini saya dapat dididik untuk menyediakan diri saya pada masa akan datang serta mengenal segala selok-belok urusan pentadbiran kerajaan, urusan majlis agama dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat.

Iklan

Masalah rakyat ada banyak seperti tidak cukup duit, tiada rumah, tiada tanah, pendidikan, dilanda musibah banjir, kemalangan dan kematian.

Jadi ini sedikit sebanyak sudah menjadi amalan kepada saya dan keluarga saya untuk diteruskan. Ini adalah legasi daripada Almarhum Paduka Ayahanda kepada saya dan adinda-adinda saya.

Iklan

Mengenai soalan apakah peninggalan Almarhum Paduka Ayahanda kepada saya, saya boleh berkongsi antara sifat yang diturunkan oleh Almarhum Paduka Ayahanda.

AL-SULTAN ABDULLAH

Sifat itu adalah turun padang membantu rakyat, tidak kira siapa, tidak kira kulit, tidak kira bangsa apabila adanya kemalangan, masalah atau banjir. Kita perlu berada bersama rakyat dan itu amalan yang saya rasa begitu mulia.

Saya dan Raja Permaisuri Agong sentiasa turun padang ketika banjir besar di Pahang pada 2013. Setiap petang dan malam, kita ada bersama untuk memasak dan memastikan masalah yang timbul (daripada bencana banjir) dapat dikurangkan. Sebagai Ketua Negara, apakah yang Tuanku harapkan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun ini?

AL-SULTAN ABDULLAH: Sudah tentu kalau saya hendak beri sasaran yang jauh, ia sukar untuk dicapai tetapi doa saya dan harapan saya berbalik kepada soal perpaduan. Saya ingin melihat dan merasai agar seluruh rakyat kita dapat hidup dalam keadaan aman, stabil dan harmoni.

Saya tidak berani janji tetapi itulah harapan saya. Adalah menjadi kesedihan kalau sepanjang lima tahun ini negara kita jadi kucar-kacir, saya harap jauhlah kita daripada masalah ini.

Saya harap rakyat berhati-hati dan biarlah berhemah dalam kita menentukan masa hadapan kita. Namun saya harap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri dapat memperkukuhkan keadaan ekonomi, memperkukuh keadaan kesejahteraan rakyat dan bertindak lebih proaktif dalam soal membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan pertolongan dengan segera.

Inilah harapan jangka pendek bagi saya. Saya sangat realistik. Adakah Tuanku melihat wujud asakan-asakan daripada pihak-pihak tertentu dan adakah ini memberikan tekanan?

AL-SULTAN ABDULLAH: Tekanan memang ada. Ini memang satu lumrah dan tanggungjawab apabila kita memegang tampuk pemerintahan. Di peringkat mana sekali pun mesti ada tekanan.

Persoalannya, macam mana kita mengurangkan tekanan dan mengendalikan tekanan itu. Bagi saya, saya cuba buat secara berhemah. Kita perlu faham isu dan kita libat urus dengan pihak yang berkaitan dan selesaikan secara muafakat. Kita selesaikan secara perbincangan... tidak ada masalah yang tidak boleh selesai kalau kita duduk semeja dan berbincang.

Masalah ini bukan hanya berlaku kepada negara kita. Semua negara mempunyai masalah tersendiri namun kelebihan kita ialah kita tinggal dalam masyarakat berbilang kaum dan banyak isu sangat kompleks serta sangat sensitif.

Atas sebab itu saya berpendapat kita mesti memahami sensitiviti isu-isu tertentu, kalau boleh isu sensitif kita jauhkan.

Kita jangan jadikan ia bahan yang boleh memecahbelahkan rakyat dan jadikan isu itu satu sempadan di negara kita yang berbilang kaum dan agama.

Jika anda mengikut laluan (pecah belah) itu, maka anda akan berdepan dengan masalah. Kita mesti faham bahawa kita tinggal dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu dan telah memulakan tugas sebagai Ketua Negara Malaysia.

Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal ditabalkan secara rasmi pada 30 Julai ini. Sempena upacara kenegaraan itu, Al-Sultan Abdullah, 60, berkenan diwawancara menjelang Hari Pertabalan.

AL-SULTAN ABDULLAH

Dalam wawancara khas yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 10 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong menjawab soalan-soalan wartawan mengenai tanggungjawab, keprihatinan dan cabaran yang perlu dilalui dalam tempoh lima tahun pemerintahan Seri Paduka Baginda.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin; Ketua Wartawan Nasional Sinar Harian, Junhairi Alyasa; Jurugambar, Asril Aswandi Shukor dan Juruvideo, Yusrizal Yusuf Ahmad turut berpeluang menemu ramah Seri Paduka Baginda selama sejam.

Selepas sesi temu ramah selesai, Al-Sultan Abdullah yang berjiwa rakyat tanpa disangka-sangka dan tiada dalam jadual program, telah berkenan menemani wartawan-wartawan yang terlibat dalam sesi temu ramah itu makan tengah hari di sebuah dewan di Istana Negara.

Temu bual yang berlangsung dalam suasana formal tetapi ceria itu disusuli interaksi semasa jamuan makan tengah hari santai selama 30 minit. Perbualan berkisar mengenai sekolah, sukan, industri media, keluarga, Raja Permaisuri Agong, negeri Pahang dan pengalaman Seri Paduka Baginda melawat ke negeri-negeri di Malaysia selepas tujuh bulan menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Sesekali Al-Sultan Abdullah ketawa kecil apabila ada topik yang dibualkan agak melucukan.

Isu ancaman pengganas

Mudah-mudahan perkara ini tidak akan terjadi. Saya harap mereka ini sedar betapa berat implikasinya jika ia terjadi. Kalau kita tidak berhati-hati, imej dan jenama Malaysia akan terjejas pada mata kerajaan negara-negara Islam khususnya di Arab Saudi dan Mesir. Kita kena fikir ramai penuntut kita pergi belajar di sana dan kena fikir banyak tentang (nasib) bakal haji ke Arab Saudi setiap tahun dan jemaah umrah setiap bulan.

Kalau kita tidak sedar hakikat ini, mungkin suatu hari nanti negara-negara itu akan tutup pintu kepada rakyat Malaysia. Apakah yang akan terjadi? Ada implikasi. Orang muda yang dianggap lebih radikal ini, takkan negara-negara itu hendak benarkan saudara datang ke Arab Saudi atau Mesir dengan mentaliti radikal? Mungkin hakikat itu harus kita jadikan sebagai suatu ingatan. Saya harap setiap daripada kita sedar. Saya bercakap berdasarkan kepada penilaian saya secara peribadi. Ini bukan saya cakap bagi pihak kerajaan, saya bimbang ini akan terjadi jika kita tidak berhati-hati.

Tulisan jawi

Tulisan jawi ini adalah warisan kita, bukan perkara yang baru. Perkara yang sudah ada pada zaman dulu, jadi kita teruskan saja. Kita tidak boleh meminggirkan tulisan lain tetapi kita mesti menghidupkan semula tulisan jawi.

Kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu mengenai fitnah

Ini adalah tanggungjawab Majlis Raja-Raja untuk mengeluarkan kenyataan supaya dapat meredakan isu. Kita harap ia dapat mengembalikan kita kepada keadaan yang sewajarnya.

Kadangkala kita perlu tunduk sedikit, jangan terlalu agresif tidak tentu arah, marah tidak tentu arah, (nanti) jadi naik darah kita semua. Ini tidak sihat, kita yang akan jadi sakit, jadi saya harap kita cuba berhemah dan bermuhasabah dalam hal ini.

Kebimbangan gejala fitnah

Secara umumnya, gejala fitnah ini adalah satu fenomena yang tidak sihat. Kalau kita cepat atau mudah dipengaruhi oleh mana-mana berita yang tidak ada betulnya dan diragui kesahihannya, ia mungkin akan menyusahkan dan memecahbelahkan. Dalam hal ini, saya tidak mahu mengaitkan mana-mana isu tetapi secara keseluruhannya kita tidak boleh berlandaskan kepada berita yang kurang tepat. Ini suatu amalan yang kurang sihat. Saya buat beginilah... saya malas hendak tengok berita, jadi jangan kita terlalu tumpu dengan berita-berita (fitnah). Kadang-kadang baik kita tutup sajalah (telefon), kalau tidak kita yang tertekan nanti. Dalam kesesakan jalan pun kita sudah tertekan.

Dalam keadaan negara sekarang, banyak pihak merasakan Tuanku patut memberi pendekatan lebih dekat dengan rakyat supaya dapat mengembalikan keyakinan kepada institusi raja. Apakah reaksi Tuanku tentang perkara ini?

AL-SULTAN ABDULLAH: Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Istana lain tetapi bagi Istana Pahang sahaja.

Di mana sekali pun institusi beraja, Istana sentiasa berada dalam perhatian rakyat dan kami tiada beza. Sudah tentu selagi kita boleh buat sesuatu untuk rakyat, hanya itulah yang termampu boleh kita lakukan tanpa kita cuba hendak mempolitikkan usaha kita.

Selalunya kita dianggap seolah-olah campur dengan politik dan di situlah kita akan dikritik dengan kuat. Tetapi saya ingin menyatakan di sini apabila kita hendak dekati rakyat, ia adalah atas dasar perikemanusiaan dan atas budi bicara sendiri. Ia bukan untuk undian atau pujian, itu tidak terlintas dalam sanubari saya.

Saya tidak boleh komen Istana-Istana lain. Apa yang boleh saya nyatakan di Pahang, kita cuba menerapkan nilai-nilai yang boleh mendekatkan kita dengan rakyat, membantu rakyat, sekadar yang kita mampu.

Dalam salah satu titah ucapan, Tuanku banyak bercakap soal perpaduan Melayu tetapi orang Melayu masih berpecah, apakah perasaan Tuanku?

AL-SULTAN ABDULLAH: Saya harap saya tidak melangkah ke arena politik di sini. Saya ingin menasihatkan, berpecah berapa kali pun, kita masih tinggal dalam negara kita, negara Malaysia yang tercinta ini.

Kita dalam bot yang sama, kita tidak boleh mempunyai rakyat yang bercelaru dan berpecah dalam satu kapal yang sedang menuju ke arah kejayaan. Kita perlu bersatu, kita semua bercakap tentang bersatu.

Baru-baru ini dalam titah ucapan di Parlimen, saya tegur soal perpaduan dan kesatuan. Saya harap kita kena buktikan perkara itu, jangan cepat melatah dan cuba memecahkan perpaduan. Saya bimbang kalau hal ini berterusan.

Saya percaya rakyat Malaysia begitu berhemah dan pandai menilai yang mana baik dan yang mana kurang baik.

Tuanku tinggal di Istana tetapi apabila berlaku banjir atau musibah, Tuanku akan turun padang. Apakah komen Tuanku mengenai perkara ini?

AL-SULTAN ABDULLAH: Jangan rakyat anggap kita ini orang Istana tidak keluar, salah anggapan ini. Saya hendak betulkan anggapan ini kerana kita lebih selesa melawat dan berjumpa rakyat. Sifat saya begitu.

Saya pergi tengok cara hidup rakyat dan bantu sekadar mana yang mampu. Malah di Kuantan, kalau tidak percaya boleh datang, selalu kalau saya keluar masuk Istana, ada sahaja rakyat tunggu di pagar untuk minta bantuan. Secara kebiasaannya kita harus membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

Kasih sayang yang ditunjukkan oleh Tuanku dan Raja Permaisuri Agong menjadi contoh kepada rakyat dan keluarga di negara ini. Apakah reaksi Tuanku?

AL-SULTAN ABDULLAH: Alhamdulillah, kalau difikirkan kami sekeluarga menjadi satu contoh. Saya harap kita semua harus menjadi satu keluarga, satu Malaysia yang boleh kita banggakan. Saya akan cuba memainkan peranan sebagai bapa atau abang. Raja Permaisuri Agong menjadi ibu atau kakak kepada semua rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina dan India.

Sekadar mana yang kita mampu, kita akan terapkan nilai-nilai yang positif. Saya harap elemen-elemen positif antaranya hormat-menghormati antara orang tua, sayang-menyayangi antara anak-beranak dan menghormati jiran diteruskan.

Walaupun ada perbezaan fikiran dan pandangan tetapi jangan jadikan itu dinding perpecahan. Perbuatan ini tidak sihat. Saya memang bersikap terbuka dalam hal ini. Saya suka menjalinkan persahabatan dan saya suka mendengar banyak pendapat dan saya juga suka mendengar kritikan dan berharap ia adalah kritikan yang membina. Biarlah kritikan untuk kebaikan bersama.

AL-SULTAN ABDULLAH

Kita tidak boleh lari daripada kelemahan kerana itu sifat manusia. Saya harap nilai yang kita pamerkan dapat dicontohi, diserapkan dan diamalkan. Ini dapat menaikkan imej keluarga, kaum, bangsa serta agama.

Apakah pandangan Tuanku tentang kepentingan didikan agama dalam keluarga dan rakyat?

AL-SULTAN ABDULLAH: Kita mesti memahami agama kita, agama Islam yang besar ertinya kepada insan. Namun dalam konteks negara kita, saya harap jangan kita mengamalkan agama kita secara pemikiran sempit sebab kita berada dalam keluarga yang besar, negara besar dan tinggal bersama dengan (penganut) agama lain. Kalau kita rasa agama kita lebih tinggi daripada agama lain, kita tidak boleh pandang rendah terhadap agama lain. Kita jangan ada pemikiran begitu.

Saya rasa kita perlu meraikan agama lain dan meraikan komuniti lain supaya mereka dapat kenal dan memahami agama kita dengan lebih baik. Jadi kita sebagai Muslim dan insan bertanggungjawab membela agama perlu memainkan peranan.

Selain mendidik umat Islam, kita juga berkongsi apa yang kita tahu dengan agama lain supaya kita dapat memahami dan mereka juga memahami agama kita. Bukan sekadar kita bertelagah, itu bukan caranya. Kita tidak patut terapkan pemikiran ini.

Saya harap kenyataan ini tidaklah mencetuskan apa-apa isu. Ini pandangan peribadi saya dan saya percaya anda (media) juga mempunyai tanggungjawab untuk menentukan agama kita terus ditegakkan dan dimartabatkan.

Apabila Tuanku melihat rakyat yang terdiri daripada orang muda di negara ini, apakah yang Tuanku fikirkan? Apakah nasihat Tuanku kepada generasi muda?

AL-SULTAN ABDULLAH: Orang muda biasalah mengalami evolusi baharu, melalui suasana baharu, kadangkala mereka ada pemikiran tersendiri dengan cara orang muda. Apabila umur meningkat, mereka akan mempunyai pemikiran berbeza, namun saya harap mereka jadi generasi berwibawa dan berintelek.

Jangan lakukan perkara negatif yang boleh menguasai jiwa dan pemikiran. Kita dulu pun pernah jadi generasi muda, kita juga mempunyai cara dan idea tersendiri.

Almarhum Paduka Ayahanda Tuanku pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku melihat Almarhum menjalankan tanggungjawab. Apakah yang dapat Tuanku belajar daripada pengalaman itu?

AL-SULTAN ABDULLAH: Saya percaya semasa Almarhum Paduka Ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong, pendekatan mesra telah dapat Ayahanda saya pamerkan.

Saya masih ingat banyak program Tuanku disambut dengan baik, diberi laungan Daulat Tuanku dan ada ungkapan I Love You. Saya harap amalan pendekatan mesra ini diteruskan. Saya tidak akan buat perkara yang berbeza. Cuma saya akan buat dengan cara saya sendiri. Apa yang baik, saya teruskan.

Saya akan menjadi diri saya sendiri. Seperti yang saya katakan, saya ini (semasa kecil) memang pendiam dan pemalu tetapi ini tidak bermakna saya tidak bercakap, saya sombong. Saya tidak bersuara tidak bermakna saya tidak ada pendapat.

Apakah kata-kata Almarhum Paduka Ayahanda Tuanku yang paling terkesan kepada diri Tuanku sampai sekarang?

AL-SULTAN ABDULLAH: Dalam banyak perkara, Almarhum Paduka Ayahanda saya sering mengingatkan saya tentang keperluan untuk rakyat, kita mesti bantu rakyat mana yang dalam kesusahan. Baginda akan beri perhatian kepada keluarga yang dalam kesusahan. Contohnya kalau meninggal dunia, mahu dikebumikan di mana, rumah di mana, keluarga di mana, anak di mana, anak berapa, cucu berapa, sampai begitulah. Jadi bukanlah sekadar ucap takziah dan balik. Itulah amalan yang saya cuba terapkan.

Tuanku sudah memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong sejak 31 Januari lalu, apakah cabaran yang dilalui?

Al-SULTAN ABDULLAH: Saya anggap ini semua tanggungjawab dan setiap tanggungjawab mempunyai cabaran.

Ditambah lagi dengan jawatan seperti ini, saya harap saya dapat memperhalusi setiap keputusan, menenteramkan dan menyelesaikan masalah. Jika cabaran itu mengundang permasalahan, kalau boleh biarlah ia diselesaikan dengan cara berhemah. Saya tidak akan membuat satu keputusan untuk mencabar mana-mana pihak namun ia bergantung kepada isu. Saya lebih suka bermusyawarah, bermuafakat dan berbincang dulu. Kalau ada kata putus, maka kena hormat kata putus.

Jadi kita tidak boleh lari daripada tekanan dan masalah yang akan datang nanti. Kita tidak tahu masalah yang akan datang. Kalau kita fikir, kita rasa rakyat hendak berpecah, maka ia akan berlaku. Kita tidak sepatutnya berfikir begitu, kita patut fikir kita hendak bersatu, kita hendak menyatukan rakyat. Kalau kita berfikir hendak berpecah, kita akan berpecah.

Jika anda fikir anda hendak berlawan, maka akan berlaku perlawanan dan pergaduhan. Jadi jangan fikir hendak bergaduh.

Kita hendak tinggal dalam suasana yang harmoni. Mesti ada sempadan dalam pemikiran kita, kita mesti belajar daripada kesilapan negara lain dan pemimpin negara lain. Jangan kita terbawa-bawa mahu pembaharuan secara total, pembaharuan secara mendadak, ia mungkin menyebabkan kerugian kepada banyak pihak dari segi masa dan peruntukan kewangan.

Mari kita bekerja dengan kekuatan yang kita ada dan perbaiki kelemahan kita. Kalau pihak Istana tidak betul, kita betulkan Istana. Kalau kerajaan tidak betul, kita betulkan kerajaan sikit.

Memang kuasa di tangan rakyat tetapi tidak bolehlah (menggunakan kuasa itu) dengan cara yang akan merugikan semua bangsa. Ini harapan dan doa supaya kita tidak akan jadi begitu.

Sepanjang tempoh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, saya harap kita dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera dan dirahmati ALLAH. Setiap bangsa di Malaysia dapat tinggal bersama dengan sesama kaum lain supaya wujud keadaan harmoni dalam Malaysia buat selama-lamanya. Bukan untuk sementara tetapi buat selamanya.

Tidak kira parti mana memerintah, kita masih ada bangsa Melayu, Cina, India, Dayak... jadi kita harus terima hakikat ini. Saya harap semua pihak akan berikan sokongan, dokongan, panduan, doa. Saya sebaliknya akan beri seluruh jiwa dan raga kepada Malaysia dan rakyat.

KEPRIHATINAN Al-Sultan Abdullah