Tabung Haji lancar Aplikasi Jemaah 1440H

Iklan
Aplikasi Jemaah 1440H

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Aplikasi Jemaah 1440H dalam usaha membantu jemaah haji Malaysia menjalankan ibadah dan melancarkan urusan haji mereka tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata aplikasi dibangunkan bersama anak syarikat TH iaitu Theta Edge Berhad akan menyampaikan maklumat penting serta terkini buat jemaah haji melalui telefon pintar dengan sistem operasi Android.

Iklan
Iklan

"Maklumat disalurkan termasuk berita terkini, maklumat penjadualan setiap jemaah haji juga berkenaan bimbingan ibadah haji yang mana (melalui aplikasi itu) jemaah haji boleh memuat turun semua bahan bimbingan, juga waktu solat, nombor penting dan lokasi melalui Google Maps.

"Jemaah haji boleh memuat turun aplikasi ini di Play Store atau mengimbas QR Code disediakan dan mengimbas kod bar di (kad) lencana mereka supaya maklumat itu khusus untuk mereka seperti jadual perjalanan dan penerbangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu di sini hari ini.

Iklan

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Dalam majlis sama Syed Saleh bagi pihak TH menerima sumbangan daripada jemaah haji Maktab 82 yang telah mengumpulkan dana berjumlah 3,300 riyal (RM3,625) bagi membeli 11 kerusi roda untuk kegunaan jemaah haji yang memerlukan.

Iklan

Syed Saleh berkata selain itu aplikasi itu juga mampu menunjukkan gambar satelit lokasi melalui Google Maps yang membolehkan jemaah haji mengetahui sendiri lokasi mereka secara bergambar dan memudahkan proses mereka mencari arah.

"Mereka juga boleh boleh menghantar lokasi kepada pihak Tabung Haji bagi membolehkan Tabung Haji memandu arah mereka pulang ke maktab masing-masing, selain membantu jemaah menuju tempat bersejarah, restoran dan lain-lain lagi," katanya.

Sementara itu, Mohd Fahrur Ariffin Amran, 30, jemaah haji dari Johor Bahru, Johor berkata aplikasi itu memudahkannya menyemak panduan ibadah haji dengan pantas tanpa perlu membawa dan membuka buku.

"Saya mula menggunakan aplikasi ini pada Jumaat lepas (26 Julai) dan ia amat membantu saya di sini dengan pelbagai kegunaannya," katanya. - Bernama