KUALA LUMPUR - Pemilihan kawasan Cheras sebagai lokasi Karnival Sukan IPG Kampus Ilmu Khas (SiPIK2019) menyemarakkan lagi keunikan kawasan tersebut yang sememangnya terkenal sebagai pusat sukan dan rekreasi.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, Cheras memiliki pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi terkemuka antaranya Arena Petanque Taman Rekreasi Ulu Pudu, Stadium Cheras, Taman Tasik Permaisuri dan Kompleks Renang Kuala Lumpur.
"Semua kemudahan-kemudahan rekreasi ini menjadikan Cheras sebagai lokasi tumpuan beberapa acara sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia, Tengku Adli Raja Omar, Timbalan Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas (IPGKIK, Dr Norherani Moning dan Ikon SiPIK2019, Datuk Zaiton Othman.
Tambah Kamarudin, program yang mengumpulkan warga pendidik dan staf dari IPG itu bukan sahaja dapat membina semangat kesukanan malah dapat mempertingkatkan kualiti staf dan pemantapan pembangunan profesionalisme.
"IPGKIK merupakan sebuah institut pendidikan guru yang tekemuka di Malaysia telah berjaya menganjurkan SiPIK2019 dengan kelasnya tersendiri.
"Lebih menarik, dalam kalangan peserta sendiri adalah bekas alumni IPGKIK termasuklah ikon SiPIK2019, Zaiton Othman. SiPIK2019 merupakan acara julung kalinya diadakan di peringkat kebangsaan dan memilih Cheras yang terkenal sebagai pusat sukan serta rekreasi,” ujarnya.
Program yang melibatkan seramai 760 orang peserta telah berlangsung pada 25-28 Julai 2019 bersempena sambutan 60 tahun Ilmu Khas yang bakal berlangsung pada bulan September nanti.