KUALA LUMPUR - Jumlah kes demam denggi di Malaysia bermula Mei hingga 20 Julai tahun ini meningkat sebanyak 34,166 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 72,356 kes denggi telah dilaporkan dalam tempoh tersebut pada tahun ini berbanding 38,190 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Peningkatan kes sebanyak 89 peratus itu turut menyaksikan berlakunya pertambahan jumlah kematian apabila 108 kematian dilaporkan pada tahun ini berbanding 61 kematian pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 77 peratus.
"Semua pihak sama ada keluarga, masyarakat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pihak swasta, media, institusi pengajian tinggi, sekolah, badan profesional, aktivis sosial, sektor pembinaan, selebriti mahupun institusi keagamaan mempunyai peranan masing-masing dalam menangani isu Denggi.
"Usaha kolektif dan bersepadu oleh semua pihak ini dapat menjamin kejayaan pencegahan Denggi secara berterusan.
"Kementerian mengucapkan terima kasih di atas komitmen bersepadu oleh semua pihak di dalam usaha murni menangani penularan jangkitan penyakit demam denggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly mengumumkan"Banteras denggi, bermula dengan saya” adalah tema Sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan pada tahun 2019.
Menurut beliau, pemilihan tema itu bertepatan untuk membuktikan peranan setiap individu dan komuniti amat penting bagi aktiviti pencegahan wabak tersebut.
"Tema ini juga selari dengan hala tuju kementerian dalam pencegahan denggi yang memberikan tumpuan kepada peranan individu dan komuniti pada aktiviti penghapusan tempat-tempat pembiakan Aedes serta menjaga kebersihan persekitaran,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat kebangsaan telah diadakan di Perak, hari ini, disambut sekali dengan Konvesyen Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Anugerah IPT (Institut Pengajian Tinggi) Bebas Denggi Peringkat Kebangsaan.
"Ini bagi menghargai usaha komuniti dan agensi lain seperti IPT yang berjuang memerangi denggi bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan. Bermula dari tahun 2001 sehingga 2019, telah terdapat 2,761 pasukan COMBI yang ditubuhkan seluruh Malaysia.
"Ia dianggotai 30,958 sukarelawan dari kalangan komuniti dari seluruh negara. Pasukan ini adalah sebagai Agen Perubah dan sebagai contoh di kalangan komuniti, yang mengamalkan aktiviti pencegahan denggi setiap minggu,” katanya.
Dr Dzulkefly juga berharap usaha dapat dilestarikan demi memastikan rakyat Malaysia sihat serta bebas dari ancaman demam denggi seiring dengan inisiatif pembangunan negara yang menekankan aspek penjagaan dan perkhidmatan kesihatan.