JASIN - Polis menahan seorang pekerja kilang bagi membantu siasatan kes mencabul kehormatan seorang wanita ketika sedang menjalani pemeriksaan perubatan pekerja asing (Fomema) di sebuah klinik swasta di Merlimau di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, warga Bangladesh yang berusia 32 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Merlimau kira-kira jam 6.30 petang, semalam.
Iklan
Iklan
"Suspek dibawa majikan ke balai sebelum ditahan, namun suspek tidak mengaku terbabit kes mencabul pengadu wanita itu.
"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 20 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan polis memburu seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki mencabul juru X-ray sebuah klinik swasta ketika mengendalikan pemeriksaan Fomema ke atasnya di Merlimau, 18 Julai lalu.
Wanita berusia 22 tahun yang berasal dari Sarawak itu mendakwa suspek menyinggung payu daranya dengan tangan kanannya dan kemudiannya mengulangi perbuatan itu sekali lagi.
Suspek juga dikatakan enggan mengikut arahan dan menunjuk isyarat senyap dengan jari selain didakwa terus merapatkan badannya dengan badan pengadu sebelum insiden itu didengari doktor bertugas.