TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang menjual gula-gula 'Ghost Smoke Cool Fruit Powder'.
Ketua Cawangan KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, hasil pemantauan pihaknya di sekitar pasaran di daerah ini dan Jeli, tiada penjualan gula-gula itu dikesan setakat ini.
"Pemeriksaan di kawasan niaga dan premis sekitar dua daerah itu mendapati peniaga mula akur dan tidak menjual gula-gula 'Ghost Smoke' yang juga dipandang serius pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Sekiranya masih ada yang menjual gula-gula ini, tindakan akan diambil di bawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.
Beliau berkata, KPDNHEP Tanah Merah akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang.
"Sebarang aduan berhubung perkara ini boleh disalurkan kepada kementerian melalui talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) atau talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) di talian 1-800-886-800.
"Jika menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU, boleh emailkan ke alamat e-aduan@kpdnhep.gov.my.
"Jika guna sistem pesanan ringkas (SMS), boleh hantar ke 15888 dengan menaip"KPDNHEP ADUAN dan laporkan atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP terdekat untuk maklumat lanjut," katanya.