BATU PAHAT - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi penunggang motosikal cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, pagi tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Isyadi Dani berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Ng En Chya, 55, manakala soerang lagi penunggang motosikal, Ooi Bok Chai, 57, cedera parah.
Iklan
Iklan
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 8.34 pagi dan setibanya di tempat kejadian, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dua motosikal.
"Kereta yang dipandu lelaki berumur 21 tahun itu datang dari arah Yong Peng ke Ayer Hitam dan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua motosikal yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, mangsa yang maut tercampak dan tersangkut di tali air iaitu kira-kira empat meter dari lokasi kejadian manakala Bok Chai yang cedera parah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismaill Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, mangsa yang maut telah dikeluarkan bomba sebelum diserahkan kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.35 pagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.