KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu tidak menolak kemungkinan kumpulan penjenayah yang memecah masuk dan mencuri tiga kenderaan pacuan empat roda di sebuah pusat servis di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu semalam mempunyai kaitan dengan kes sama pada Februari lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, kes terbaharu itu mempunyai modus operandi yang sama dengan kes pecah masuk premis pameran dan servis kereta di Kuala Nerus, pada Februari lalu.
Menurutnya, suspek yang memecah masuk premis di Kuala Nerus itu masih belum ditangkap dan pihaknya sedang giat memburu suspek.
"Modus operandinya sama, sekarang ini kita sedang lakukan siasatan menyeluruh. Siasatan kita juga menjurus kemungkinan jika ia mempunyai kaitan dengan sindiket jual alat ganti kenderaan curi atau sindiket jual kereta curi ke negara jiran.
"Dalam kes terbaharu ini, kita percaya ia melibatkan empat individu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam semalam, tiga kenderaan pacuan empat roda model Ford Ranger di pusat servis di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu lesap, dipercayai dilarikan sekumpulan penjenayah membabitkan kerugian hampir RM400,000.
Mengulas lanjut, Aidi berkata, pemeriksaan yang dibuat mendapati rakaman kamera litar tertutup di pusat servis itu tidak berfungsi dan premis itu juga tidak memiliki pengawal keselamatan.
"Kita nasihatkan kepada pemilik pusat servis dan pengedar kenderaan supaya dapat mempertingkatkan kawalan keselamatan di premis masing-masing bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pacuan empat roda lesap