ISKANDAR PUTERI - Kementerian Industri Utama mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Kota Iskandar di sini hari ini.
Menterinya, Teresa Kok berkata, kunjungannya itu bagi membincangkan isu pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di negeri ini.
"Di Johor, terdapat 747,562 hektar jumlah kawasan tanaman sawit, tapi hanya 37 peratus yang dipersijilkan di bawah MSPO.
"Jadi ini satu angka yang agak rendah dan agak membimbangkan," katanya kepada pemberita sebelum mengadakan sesi dialog bersama pemilik dan pengurusan kilang kelapa sawit Johor di Hotel Jen Puteri Harbour di sini hari ini.
Teresa berkata, dalam pertemuan itu, kementerian turut meminta kerajaan negeri menghulurkan bantuan kepada pekebun kecil untuk memperoleh pensijilan MSPO.
Katanya, permintaan itu dibuat kerana terdapat ramai pekebun kecil di seluruh negara termasuk Johor menanam sawit di atas tanah yang tidak sepatutnya untuk tanaman tersebut.
"Kalau mereka nak dapat sijil MSPO, mereka haruslah mematuhi undang-undang di negara kita. Apa yang dilakukan adalah agak salah dari segi undang-undang.
"Itu sebab mereka tidak dapat sijil MSPO. Jadi kami nak minta kerajaan negeri tolong ubah syarat tanah bagi pekebun kecil supaya mereka boleh dapat sijil MSPO," katanya.
Beliau berkata, di Johor, terdapat 3,412 pekebun kecil melibatkan kira-kira 5,000 hektar tanaman.
Ditanya maklum balas Menteri Besar mengenai permintaan itu, katanya, kerajaan negeri memaklumkan akan memberikan kerjasama dan membantu mengubah syarat tanah dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, Teresa berkata, sebanyak 28 daripada 61 kilang sawit di Johor atau 45.9 peratus sahaja telah mendapat pensijilan MSPO.
"Pertemuan dengan semua pemilik kilang sawit di Johor, saya nak minta mereka bagi kerjasama dan panjangkan mesej tentang keperluan pensijilan MSPO kepada pekebun kecil kerana ramai masih tidak tahu," katanya.