HULU TERENGGANU - Lima sekeluarga di Kampung Tanjung Putat di sini sempat menyelamatkan diri sebelum sebatang pokok setapi tumbang menghempap rumah mereka, lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, rumah dihuni Kasnah Kassim, 48, sekeluarga rosak teruk di bahagian bilik yang digunakan sebagai tempat menyimpan pakaian dan beberapa barangan lain.
Menceritakan detik cemas itu, Kasnah berkata, suaminya, Noor Rani Talib, 50, sebelum itu mengalihkan sebuah kereta dan lori kecil ke tempat lain setelah melihat pokok setapi semakin condong menjelang Maghrib.
"Selepas berapa ketika suami alihkan kenderaan ke tempat selamat dan menyuruh saya serta anak-anak segera keluar dari rumah, kami dikejutkan dengan gegaran dan bunyi kuat pokok setapi tumbang.
"Syukurlah kami sekeluarga sempat turun, tak dapat bayangkan macam mana nasib kami jika masih berada di dalam rumah.
"Melihat pokok semakin condong, saya dapat meneka ia akan tumbang tapi tak jangka akan menghempap rumah. Jarak pokok lebih kurang 10 meter. Rupanya dengan ketinggian pokok boleh sampai ke rumah apabila tumbang," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah suri rumah tiga anak berusia antara 16 hingga 11 tahun itu, ketika kejadian hujan baru sahaja reda dan tiada angin kencang atau pun ribut yang melanda kawasan berkenaan.
Katanya lagi, sebelum itu pada waktu tengah hari, suaminya ada terdengar bunyi seperti serpihan dahan atau batang pokok patah, namun tidak dapat dipastikan daripada pokok mana.
"Beberapa hari lepas, berlaku ribut di kampung ini menyebabkan bumbung rumah kami alami kerosakan kecil. Tak sangka pokok setapi pula tumbang hempap rumah.
"Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat. Semua yang berlaku ini pasti ada hikmah yang tersendiri. Pokok setapi ini ditanam orang tua dulu-dulu.
"Saya ucapkan terima kepada semua pihak dan orang kampung yang datang bergotong-royong membersihkan pokok tumbang ini," katanya.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Terengganu, Norazmy Adenan ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memanjangkan permohonan kepada Tabung Darul Iman untuk membaik pulih rumah mangsa.