MB nafi lewat tangani isu pencemaran Sungai Selangor

Iklan
(Gambar kecil, Amirudin Shari)

SHAH ALAM - Kerajaan negeri bertindak pantas dalam menyelesaikan isu pencemaran air mentah Sungai Selangor berikutan tumpahan diesel minggu lalu sekali gus menafikan dakwaan pihaknya lambat bertindak dalam isu berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, tindakan segera diambil dengan mengambil sampel air serta langkah berkaitan untuk menangani isu tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya tidak pasti di mana lewatnya. Saya akan dapatkan kepastian tentang (dakwaan) kelewatan itu. Kalau kita tak bertindak segera, minyak itu dah masuk ke dalam kolam takungan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Serahan Perdana Lembu Korban Peringkat Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Iklan
Amirudin (enam dari kiri) menerima replika cek sebagai simbolik penyerahan tajaan 1,200 ekor lembu bernilai RM6.45 juta atau untuk agihan korban daripada sembilan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.

Menurutnya, isu pencemaran itu tidak boleh ditumpukan kepada kewujudan dua pontun di kawasan Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah sepenuhnya.

Iklan

"Pontun itu sudah beroperasi di situ sejak 2009. Ini kejadian pertama dan kita tidak boleh salahkan kepada pontun sahaja kerana sebelum ini ada macam-macam masalah lain.

"Pada mata kasar saya, kejadian ini bukan isu kecuaian namun biarlah polis yang siasat. Jika ada unsur cuai, tindakan selanjutnya akan diambil," katanya.

Amirudin berkata, bagi mengelak pencemaran berulang prosedur operasi standard akan diperketatkan.

Dalam pada itu, menurutnya, pontun yang tidak beroperasi itu sudah dikeluarkan semalam dan perkara itu dimaklumkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd selepas mendapat kebenaran polis.

"Sebelum ini pontun itu belum dibenarkan untuk ditarik keluar bagi membolehkan polis menjalankan siasatan," katanya.

Amirudin melihat lembu korban yang akan diagihkan sempena Hari Raya Aidiladha.

Kelmarin, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar mengingatkan semua kerajaan negeri untuk mengambil serius langkah mengatasi isu pencemaran sungai.

Xavier berkata, isu pencemaran sungai bukan perkara baharu, namun negara bakal berhadapan masalah kekurangan sumber air bersih ketika menghadapi musim kemarau jika ia masih tidak diendahkan.

Baru-baru ini, lebih sejuta akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sekali lagi terkesan dengan gangguan bekalan air berikutan pencemaran diesel di Sungai Selangor.

Insiden tersebut menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasi.