Hanafiah Zakaria dilantik pegawai penyelidik kanan ILKAP

Iklan
Peguamcara Negara III, Datuk Hanafiah Zakaria dilantik sebagai pegawai penyelidik kanan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP).

KUALA LUMPUR - Peguamcara Negara III, Datuk Hanafiah Zakaria dilantik sebagai pegawai penyelidik kanan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi.

Lantikan itu dijangka akan berkuatkuasa pada 1 Ogos depan, bagaimanapun pengganti bagi jawatan semasa beliau belum dinamakan.

Iklan
Iklan

Memetik laporan FMT, yang melihat surat pekeliling tersebut Hanafiah yang dilantik sebagai peguamcara negara pada November tahun lepas, akan kekal di Gred 3 kakitangan pemangku.

Pemeriksaan di laman web ILKAP menunjukkan ia diketuai oleh seorang Ketua Pengarah, Datuk Anita Harun, seorang pegawai Jusa gred B.

Iklan

Hanafiah yang dijadualkan akan bersara tahun depan dilantik sebagai Peguamcara Negara III berikutan penstrukturan semula Jabatan Peguam Negara tahun lepas.

Beliau melapor langsung kepada Peguam Negara Tommy Thomas dan bertanggungjawab mengendalikan sektor litigasi bahagian sivil, bahagian pendakwaan dan bahagian rayuan serta perbicaraan.

Iklan

Semua pegawai pendakwa negeri di seluruh negara melapor kepadanya.

Hanafiah mendapat sorotan media September tahun lepas setelah mengambil tanggung jawab penuh ke atas keputusan menarik balik pendakwaan terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan wanita.

Kedua-dua mereka dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dalam penjualan sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town selepas pihak pendakwaan enggan memanggil saksi lanjut.

Tommy, yang pernah mewakili Guan Eng sebagai peguam dalam kes tersebut, menarik diri dan membenarkan Hanafiah membuat keputusan mengenainya.

Selain itu, Hanafiah juga hadir bersama-sama peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam rayuan kes liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.

Panel lima hakim mengekalkan sabitan dan hukuman 5 tahun penjara ke atas Anwar sehingga beliau diberikan pengampunan penuh selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 pada Mei tahun lepas.